PRN Melaka: Putra umum calon tanding lima kerusi DUN

Ibrahim Ali
Ibrahim Ali
A
A
A

MELAKA - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang membuat penampilan pertama kali dalam pilihan raya akan mempertaruhkan lima calon termasuk seorang wanita bagi bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Mereka ialah Pengerusi Badan Perhubungan Putra Melaka, Dr Mohd Aluwi Sari, 55, seorang ahli akademik yang akan bertanding di DUN Pengkalan Batu, manakala Ketua Biro Wanita Putra Melaka, Laila Norinda Maon, 44, seorang usahawan akan mewakili parti itu untuk kerusi DUN Gadek.

Turut dicalonkan ialah Ketua Wira Putra Melaka, Mohamad Hashidi Mohd Zin, calon termuda parti berusia 32 tahun untuk bertanding di DUN Paya Rumput serta dua Ketua Bahagian Putra Melaka iaitu Mohd Faizal Amzah, 44, di DUN Duyong serta Nazatul Ashraf Md Dom, 38, di DUN Sungai Rambai.

Presiden Putra, Datuk Dr Ibrahim Ali dalam sidang akhbar ketika mengumumkan calon parti itu secara maya pada Sabtu berkata, kesemua calon tersebut dipilih berdasarkan kriteria tertentu iaitu latar belakang pendidikan, usia dan komitmen mereka dalam mendukung parti itu sebagai alternatif kaum Melayu dan bumiputera.

"Paling utama ialah rekod calon-calon ini walaupun mereka belum bertanding namun rekod kehidupan mereka mestilah bersih, berakhlak tinggi dan bermoral.

"Mereka juga terdiri daripada golongan profesional dan usahawan selain usia kesemua calon ini dilihat seimbang dan sesuai untuk menjadi wakil rakyat dan berurusan dengan masyarakat," katanya.

Semua calon Putra yang bakal bertanding pada PRN itu turut menandatangani surat Akuan Bersumpah (SD) dan membuat sumpah laknat pada pengumuman itu bagi mengelakkan tindakan ‘lompat parti’ selepas memenangi kerusi atas tiket parti itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November, manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November.

Artikel Berkaitan:

PRN itu diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. - Bernama