Reman suspek bunuh teman wanita disambung seminggu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TAIPING - Reman ke atas seorang penganggur yang disyaki membunuh teman wanitanya dengan bahagian kaki ditemui di tepi Sungai Jebong, Kuala Sepetang di sini minggu lalu disambung selama tujuh hari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Anuar Othman berkata, lelaki berusia 34 tahun yang sebelum ini direman seminggu telah disambung bermula Ahad hingga 13 Oktober ini.

"Kebenaran sambung reman itu membolehkan kita melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Sebaik sahaja kertas siasatan lengkap, kita akan serahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan penemuan tulang bahagian kaki di tebing sungai itu membongkarkan kejadian bunuh melibatkan seorang wanita berusia 31 tahun.

Siasatan lanjut menemukan bungkusan yang di dalamnya terdapat rangka dan tulang dipercayai bahagian tubuh badan manusia dari bahagian kepala hingga ke pinggang dalam keadaan reput sepenuhnya.

Suspek yang merupakan orang pengawasan polis (OPP) yang ditahan turut didapati melanggar syarat pengawasan di bawah Seksyen 15(4) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Hasil soal siasat mendapati suspek telah bergaduh dengan mangsa bertindak memukul kepala menggunakan batang mop hingga mati sebelum menanam mangsa di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan: