Muktamar tetap hala tuju Pas bagi hadapi PRU15

 Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Muktamar Pas ke-67 yang berlangsung di negeri ini merupakan muktamar terpenting bagi menetapkan hala tuju parti itu dalam menghadapi Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia untuk memastikan Islam terus memimpin dengan mengekalkan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri yang dimenangi Pas dan menambah bilangan kerusi serta pengaruh parti itu di negeri lain.

“Alhamdulillah, parti kita terus beristiqamah atas prinsip Islam. Kita berjaya menjadi ‘king maker’ bersama dengan rakan-rakan dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) dengan memimpin kerajaan Persekutuan.

“Kita telah menempa sejarah dengan mengambil alih kerajaan Persekutuan secara aman dan demokratik daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memenangi PRU14 dengan penuh pembohongan kepada rakyat.

“Kita mengembalikan kepimpinan kerajaan kepada kepimpinan Islam yang selaras dengan konteks masyarakat majmuk di negara ini.

“Perubahan dilakukan melalui pendekatan menyatukan parti-parti dan kelompok umat Islam yang sedar serta insaf, pada masa sama disertai kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem dan memahami realiti demografi penduduk di Malaysia,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar dan Perasmian Muktamar Pas ke-67 di Duyong Marina & Resort di sini pada Sabtu.

Muktamar Pas ke-67 yang mengangkat tema ‘Islam Menyatukan Ummah’ disertai seramai 1,546 perwakilan dengan 694 daripadanya mengikuti secara langsung dari Duyong Marina & Resort di Kuala Nerus, manakala baki seramai 852 orang mengikutinya dari negeri masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Dalam ucapan itu, Abdul Hadi turut menggariskan tiga prinsip utama dalam menegakkan penyatuan ummah bagi mewujudkan pemerintahan aman dan sejahtera.

Katanya, tiga prinsip itu adalah berlaku adil kepada semua manusia termasuk musuh, perpaduan manusia sebagai satu keluarga besar walaupun terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa serta Islam memimpin.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, Pas turut mengajak rakyat negara ini supaya memberi peluang kepada parti itu bersama gabungan politik PN untuk membina sebuah negara berkebajikan dengan agenda Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS).

Menurutnya, ia termasuk penyediaan manifesto bagi menyokong langkah-langkah pemulihan ekonomi negara dan rakyat pasca pandemik Covid-19.

"Terpenting ialah pembinaan sumber manusia melalui sistem pendidikan yang merangkumi unsur jasadi, rohani dan aqli, kemakmuran ekonomi yang menghasilkan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan yang mencukupi.

"Ini termasuk memperkasakan kehebatan undang-undang, memanfaatkan kemajuan teknologi terkini, penjagaan alam dan kelestarian sumbernya, di samping komitmen untuk meningkatkan kecekapan dan perkhidmatan kerajaan demi kebajikan rakyat dan iklim pelaburan yang lebih baik," ujarnya.

Tambah Abdul Hadi, negara berkebajikan yang ditawarkan kepada rakyat berbeza dengan teori 'welfare state' daripada barat yang sempit dan hanya sekadar menjaga kebajikan masyarakat sahaja.