F&N akan kekalkan harga produk dalam persekitaran tekanan kos

No Image Caption
A
A
A

FRASER & Neave Holdings Bhd (F&N) akan terus mengekalkan harga yang diperlukan untuk produknya dalam persekitaran tekanan kos akibat harga komoditi yang tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew Hoe berkata, syarikat itu cakna terhadap pengguna yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan langkah untuk menaikkan harga akan menjadi pilihan terakhir.

“F&N akan menerima kesannya terlebih dahulu dan akan lihat sama ada kami boleh menyerapnya atau tidak. Sekiranya tidak.. kami akan menaikkan harga secara berperingkat supaya pengguna menerima kesan minimum,” katanya kepada pemberita pada taklimat keputusan Tahun Kewangan F&NHB 2021 yang diadakan secara maya pada Jumaat

Mengulas mengenai pengembangan cukai gula dalam Bajet 2022, Yew Hoe berkata, syarikat itu hanya sedikit terjejas kerana produk F&N tidak termasuk dalam kategori yang disebut dalam bajet tersebut.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan berhasrat untuk melanjutkan pelaksanaan duti eksais terhadap produk minuman manis dalam bentuk coklat atau pracampuran berasaskan koko, malt, kopi dan teh.

Yew Hoe berkata syarikat itu sedang melakukan kajian terhadap Cukai Makmur, cukai secara sekali sahaja yang diumumkan dalam Bajet 2022, pendapatan melebihi paras RM100 juta akan dikenakan cukai pada kadar 33 peratus dan bukannya 24 peratus seperti sebelum ini.

“Ada satu perkara yang tidak jelas...iaitu Cukai Makmur. Ketika ini kami sedang menyemak butirannya bagi memahami sama ada ia akan memberi kesan kepada pendapatan luar negara yang meliputi dividen F&N terima daripada operasi kami di Thailand,” katanya.

Syarikat itu mencadangkan pemberian dividen akhir satu peringkat sebanyak 33 sen sesaham untuk mendapat kelulusan daripada pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) akan datang.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya mendapat kelulusan daripada pemegang saham, jumlah keseluruhan dividen bagi tahun itu ialah 60 sen sesaham.

F&N mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM395.16 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2021 daripada RM410.38 juta pada tahun kewangan 2020 - Bernama