Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat distruktur semula

Azhar.- Foto fail Bernama
Azhar.- Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat hari ini memaklumkan penstrukturan semula sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat sedia ada yang melibatkan komposisi ahli Parlimen daripada blok Kerajaan dan Pembangkang.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menerusi kenyataan memaklumkan, penstrukturan semula itu susulan termeterainya memorandum persefahaman transformasi dan kestabilan politik ditandatangani kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September lalu.

Menurut Azhar Azizan, sebagai memenuhi salah satu dairpada perkara yang dipersetujui, keahlian dalam semua jawatankuasa pilihan khas telah ditambah daripada tujuh ahli kepada sembilan.

Beliau menjelaskan, daripada sembilan ahli Parlimen itu, lima adalah kerajaan dan empat merupakan ahli parlimen pembangkang.

Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Plihan Khas tersebut juga dibahagi di antara pihak kerajaan dan pembangkang kepada lima nisbah empat.

Ahli Parlimen Kerajaan yang dilantik sebagai Pengerusi ialah Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort), Datuk Seri Hasan Arifin (Barisan Nasional-Rompin), Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas - Kuala Krai), Yusuf Abd Wahab (GPS - Tanjong Manis) dan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang).

Manakala Ahli Parlimen Pembangkang yang dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa terdiri daripada Datuk Johari Abdul (Pakatan Harapan - Sungai Petani), Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail (PH - Kulim Bandar Bharu), Maszlee Malik (Bebas - Simpang Renggam) dan Kelvin Yii Lee Wuen (PH - Bandar Kuching).

Dalam pada itu, Azhar Azizan turut berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa telah dipersetujui untuk diwujudkan, menjadikan jumlah keseluruhan jawatankuasa pilihan khas kepada 10. - Awani

Artikel Berkaitan: