BSN perluas bantu golongan terjejas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BANK Simpanan Nasional (BSN) akan terus memperluas usaha membantu pelanggan bersasar melibatkan semua kumpulan pendapatan, perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui pengendalian beberapa pembiayaan khas di bawah Bajet 2022.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, ini termasuk tawaran pembiayaan khas Skim Mikro Kredit di bawah Skim Semarak PKS Keluarga Malaysia - Mikrokredit BSN dengan dana berjumlah RM800 juta.

“Pengusaha mikro boleh membuat pinjaman sehingga RM75,000 pada kadar sifar peratus untuk enam bulan pertama berserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan dengan tempoh pinjaman sehingga lima tahun,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut Jay, skim itu turut ditawarkan kepada golongan belia yang mahu menceburi bidang keusahawanan serta pengusaha fasiliti sukan yang berhasrat mendapatkan pembiayaan bagi meringankan keperluan kewangan mereka.

Dalam pada itu, BSN juga akan terus menjadi penyelaras Skim Geran Pendigitalan PKS dengan jumlah dananya kini dinaikkan kepada RM200 juta, termasuk RM50 juta khusus untuk usahawan mikro Bumiputera di luar bandar bagi meningkatkan lagi penerapan digital dalam kalangan PKS.

“BSN turut menawarkan pembiayaan perniagaan dengan dana sebanyak RM100 juta melalui pelaburan ekuiti dan kuasi-ekuiti.

“Jumlah ini adalah sebahagian daripada RM600 juta yang disediakan bagi dana pembiayaan perniagaan yang diterajui oleh SME Bank dengan kerjasama BSN dan Teraju (Unit Peneraju Agenda Bumiputera),” katanya.

Beliau berkata, pelanggan juga boleh mendapatkan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) yang kini dibuka sehingga 31 Disember 2021 bagi PKS sektor perkhidmatan yang terjejas akibat Covid-19 sejak Jun 2020 (kecuali subsektor pelancongan dan berkaitan).

Artikel Berkaitan:

“Kemudahan pinjaman mikro untuk modal kerja dan pembelian aset disediakan sehingga RM50,000 dan perusahaan mikro terbabit perlu beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan,” katanya. - Bernama