Tiada limpahan air, perairan sekitar Tanjung Piai masih normal

Keadaan fasiliti di TNTP yang masih belum dinaiki air tinggi.
Keadaan fasiliti di TNTP yang masih belum dinaiki air tinggi.
A
A
A

PONTIAN - Fenomena air pasang besar di Johor yang bermula pada Khamis (4 November) masih menunjukkan paras normal dan dijangka akan terus meningkat menjelang Sabtu (6 September).

Tinjauan Sinar Harian di Taman Negara Tanjung Piai (TNTP) di sini yang merupakan antara lokasi utama berlakunya fenomena saban tahun itu juga mendapati kawasan tumpuan itu masih dalam keadaan normal.

Kebiasaannya, fenomena air pasang besar itu turut menjadi tarikan utama TNTP yang mana pengunjung akan mengambil kesempatan untuk mandi air laut yang menyusuri kemudahan berkenaan selama dua jam.

Pengurus TNTP, Lili Tokiman berkata, berdasarkan makluman daripada Jabatan Laut, paras air pada Khamis masih dalam keadaan terkawal iaitu pada ketinggian 3.2 meter dari paras laut.

"Sini (TNTP) adalah kawasan utama jika kita mahu melihat air pasang besar ini kerana jika ia berlaku, air akan terus menyusuri kemudahan kami dan ini antara tarikan unik yang ditunggu-tunggu pengunjung jika datang ke sini pada hujung tahun.

"Cuma sekarang kami dapat maklumat perairan di sekitar kawasan ini masih berada di paras rendah iaitu 3.2 meter, dan untuk berlakunya limpahan ia perlu dalam ketinggian 3.5 meter dan kita jangkakan ia berlaku pada hari Sabtu," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Khamis.

Lili menunjukkan kawasan dataran TNTP yang kebiasaanya akan dipenuhi air jika berlakunya fenomena air pasang besar.
Lili menunjukkan kawasan dataran TNTP yang kebiasaanya akan dipenuhi air jika berlakunya fenomena air pasang besar.

Lili berkata, keadaan yang berlaku di Tanjung Piai itu kebiasaannya juga akan berlaku di kawasan-kawasan sekitar termasuk di pesisiran pantai Kukup, di sini yang hanya empat kilometer daripada kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Justeru, katanya, kawalan keselamatan dan pemantauan pengunjung juga akan disediakan ketika berlakunya fenomena air pasang besar pada Sabtu di kawasan berkenaan.

"Kita jangkakan kunjungan yang ramai pada Sabtu nanti, disebabkan sekarang pun masih dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) kita akan tetapkan jumlah kunjungan dan kawal dari segi penjarakan sosial," katanya.

Seorang pengunjung dari Pasir Gudang, Hairul Bahriah Said, 62, berkata, dirinya berasa sedikit kecewa kerana tidak dapat menyaksikan fenomena itu kerana kali terakhirnya merasainya adalah ketika zaman remaja.

"Kita baca berita hari ini (Khamis), jadi bawa anak-anak dan cucu-cucu mandi sini. Bila sampai tengok air masih belum naik jadi kita pusing-pusing tengok bakau sahaja," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Siti Rohani Manap, 58, berkata, dia bersama suami Abdul Majid Said, 62, dan keluarga tiba di TNTP sejak awal pagi untuk tidak terlepas daripada melihat fenomena alam berkenaan.

Siti Rohani dan suaminya Abdul Majid.
Siti Rohani dan suaminya Abdul Majid.

"Kita dari Air Baloi (Pontian) memang selalu juga datang ke sini untuk beriadah tengok pokok-pokok tetapi bila dengar ada air pasang besar ini memang nak tengoklah sebab meriah di sini.

"Lagipun kebetulan anak dengan cucu dari Melaka ada balik sekali, kita bawa datang sekali, tiada rezeki pula air belum naik lagi," katanya.

Seorang penjawat awam, Mohamad Idzwan Tarikh Afandi, 36, berkata, dia dan kumpulan motosikalnya tiba di Johor pada Rabu dan mengambil kesempatan untuk singgah di Tanjung Piai untuk melihat sendiri kawasan digelar penghujung benua Asia tersebut.

"Sebenarnya ini kali pertama sampai, kita dengar sahaja belum pernah pergi. Kebetulan orang kata jika air pasang besar kawasan ini memang meriah jadi kami pun mahu tengok sendiri cuma tiada rezeki.

"Saya memang suka kawasan sebegini, tenang dan hijau, susah jika nak jumpa lagi jika tinggal di bandar," katanya.