Mara cadang buka KUPTM di Kota Bharu

Mohamed Farid (dua dari kiri) menyampaikan zakat Zakat kepada pelajar di KPTM Kota Bharu pada Khamis.
Mohamed Farid (dua dari kiri) menyampaikan zakat Zakat kepada pelajar di KPTM Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Amanah Rakyat (Mara) bercadang menubuhkan Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM) Kota Bharu dalam usaha memperkasakan perkembangan ilmu di Kelantan ke peringkat lebih tinggi.

Ahli Majlis Mara, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, bagi memastikan impian itu dapat dilaksanakan pihaknya kini membuat kajian secara terperinci berkait dengan cadangan tersebut.

"Saya harap Bajet pada tahun 2023 dapat memberi peruntukan untuk menjayakan hasrat ini," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Zakat dan Sumbangan Peralatan Makmal Sains di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kota Bharu di sini, pada Khamis.

Menurutnya, kewujudan KUPTM ini membolehkan graduan lepasan KPTM untuk menyambung pengajian mereka ke peringkat ijazah sarjana muda.

Beliau berkata, selain itu pengajian peringkat sarjana dan doktor falsafah turut ditawarkan kepada mereka yang berminat menyambung pelajaran di KUPTM.

Mohamed Farid berkata, selain dalam bidang pendidikan, Mara menyediakan program dalam membangunkan usahawan bumiputera yang terkesan akibat serangan pandemik Covid-19 sebelum ini.

"Kerajaan menerusi Mara banyak menyediakan pakej-pakej atau skim untuk membantu usahawan memulakan perniagaan dan membesarkan perniagaan sedia ada.

"Sejak pandemik melanda, dapat lihat banyak perubahan berlaku dalam perkembangan ekonomi dan sekarang ini ia lebih kepada perniagaan secara dalam talian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagi merancakkan perniagaan secara dalam talian, Mara menyediakan platform Jananiaga Mara yang bertindak sebagai pusat memasarkan perniagaan secara dalam talian.

Beliau berkata, pihaknya hanya mengenakan caj sangat minima kepada mereka yang mahu menggunakan platfom itu untuk pemasaran.