Lelaki disaman guna nombor pendaftaran 'cantik di mata'

Penunggang motosikal memberi alasan nombor pendaftaran digunakannya kelihatan cantik di mata.
Penunggang motosikal memberi alasan nombor pendaftaran digunakannya kelihatan cantik di mata.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penunggang motosikal merayu agar tidak dikenakan tindakan saman termasuk atas kesalahan menggunakan nombor pendaftaran 'cantik' ketika ditahan dalam Operasi Khas Deepavali di persimpangan lampu isyarat Jalan P Ramlee di sini pada malam Rabu.

Lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu dikenakan tiga saman atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu, ubah suai ekzos dan menggunakan nombor pendaftaran terlalu kecil yang dikatakannya 'cantik di mata'.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, sebanyak 327 saman dikeluarkan dalam operasi yang berlangsung di Jalan Raja Laut, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan P Ramlee itu.

"327 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan lapan buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan ubah suai struktur kenderaan (ekzos).

"JSPT Kuala Lumpur turut menahan tujuh lelaki berusia dalam lingkungan 25 hingga 43 tahun di bawah Seksyen 45(A) APJ 1987," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Operasi Khas Deepavali dijalankan di sekitar Kuala Lumpur.
Operasi Khas Deepavali dijalankan di sekitar Kuala Lumpur.

Sarifudin berkata, operasi khas tersebut turut memberi tumpuan kepada penunggang basikal yang melakukan aktiviti berbasikal di sekitar ibu negara.

"Lebih kurang 30 penunggang basikal telah diberi nasihat dan penerangan secara advokasi berkaitan tatacara menunggang basikal dengan betul dan selamat.

Artikel Berkaitan:

"Penunggang basikal yang melanggar undang-undang jalan raya boleh dikenakan tindakan mengikut APJ 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1987," katanya.

Tambahnya, tindakan akan dikenakan mengikut Seksyen 54(1) APJ 1987 kerana menunggang secara melulu yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan jika sabit kesalahan.

Pegawai JSPT memberi advokasi kepada penunggang basikal.
Pegawai JSPT memberi advokasi kepada penunggang basikal.

"Kegagalan mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya boleh menyebabkan individu itu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 79(2) APJ 1987 dan boleh didenda tidak kurang RM300 dan tidak melebihi RM2,000 jika sabit kesalahan.

"Seksyen 112(3) APJ 1987 pula membolehkan basikal disita jika melakukan mana-mana kesalahan berbasikal," jelasnya.