MAIS agih bantuan fidyah lebih RM5 juta

Info grafik agihan bantuan fidyah MAIS.
Info grafik agihan bantuan fidyah MAIS.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengagihkan jumlah keseluruhan bantuan fidyah sebanyak RM5,171,200 kepada mereka yang memerlukan bermula Januari sehingga Oktober 2021.

Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, daripada jumlah RM5,171,200, sebanyak RM3,261,800.00 diperuntukkan kepada 32,618 penerima melalui sumbangan berupa set makanan kering.

Katanya, sebanyak RM1,909,400 lagi adalah sumbangan berupa wang tunai diperuntukkan kepada Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSFM) terutama kepada orang asli Islam dan Gabungan Teksi Se’Malaysia membabitkan keseluruhan sebanyak 4,222 penerima yang mendapat manfaat bantuan fidyah MAIS.

"Sumbangan set makanan asasi diagihkan kepada penerima yang memerlukan seperti beras, susu, gula, tepung dan minyak masak manakala sumbangan fidyah berupa wang tunai diagihkan sebanyak RM500 kepada penerima Gabungan Teksi Se’ Malaysia dan RM200 kepada penerima orang asli Islam.

"Sebagai organisasi Islam yang prihatin, MAIS telah membantu sebanyak 36,840 keluarga Islam yang terkesan dengan pandemik Covid-19 terutama kepada penerima bantuan fidyah MAIS khususnya golongan B40, mereka yang dibuang kerja, dicutikan tanpa gaji, dikurangkan gaji sehingga 50 peratus atau yang hilang punca pendapatan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, sumbangan yang dilaksanakan dengan kerjasama RSFM itu terdiri daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK), masjid dan surau di daerah yang terlibat.

MAIS berharap sumbangan yang diterima sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban yang perlu ditanggung oleh setiap ketua keluarga yang terkesan bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sebelum ini.

"Orang ramai yang ingin membuat bayaran fidyah, bolehlah melayari laman web MAIS di www.mais.gov.my atau bayaran boleh dibuat terus menerusi http:fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php," katanya.

Artikel Berkaitan: