Terengganu lancar perpustakaan digital DUN

Kerajaan Terengganu pada Rabu melancarkan perpustakaan digital DUN bagi menambah baik mutu perbahasan dan perkhidmatan dalam kalangan ADUN.(Gambar hiasan) - Foto Bernama
Kerajaan Terengganu pada Rabu melancarkan perpustakaan digital DUN bagi menambah baik mutu perbahasan dan perkhidmatan dalam kalangan ADUN.(Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu pada Rabu melancarkan perpustakaan digital Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menambah baik mutu perbahasan dan perkhidmatan dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Yahaya Ali berkata, perpustakaan dibangunkan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan merupakan reformasi kepada badan legastatif negeri supaya bersifat lebih inklusif.

"Selain maklumat berkaitan persidangan daripada awal DUN Terengganu ditubuhkan (1959) hingga sekarang, perpustakaan ini juga menyediakan pelbagai bahan penyelidikan berkaitan badan legislatif negeri.

"Dengan adanya perpustakaan digital, maklumat hanya di hujung jari dan ia akan memudahkan tugas Ahli Dewan (ADUN) untuk membuat rujukan di mana sahaja dan pada bila-bila masa," katanya selepas menghadiri majlis pelancaran perpustakaan digital DUN oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di sini pada Rabu.

Yahaya berkata, proses penambahbaikan perpustakaan tersebut akan dibuat dalam beberapa fasa namun sebagai permulaan ia hanya boleh diakses oleh ADUN sebelum diperluas kepada orang awam.

Beliau berkata, ia selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadi kerajaan digital pada 2030 yang diterjemahkan melalui Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu 2021-2030.

"Saya harap Ahli Dewan memanfaatkan sepenuhnya perpustakaan ini untuk membuat rujukan dan ulang kaji bagi memantapkan perbahasan demi kebaikan rakyat.

"Kita juga bertuah kerana selain maklumat berkaitan DUN, PPAT turut memberi akses kepada sebahagian aplikasi dan bahan digital sedia ada di sana," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: