UMK perkenal Palapes sebagai persediaan penuhi keperluan ATM

Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Darat akan jalani latihan di hujung minggu merangkumi latihan tempatan, latihan berterusan, latihan khemah tahunan dan latihan pentauliahan. Gambar kecil: Ahmad Ziad - Foto UMK
Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Darat akan jalani latihan di hujung minggu merangkumi latihan tempatan, latihan berterusan, latihan khemah tahunan dan latihan pentauliahan. Gambar kecil: Ahmad Ziad - Foto UMK
A
A
A

BACHOK - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) buat julung kali memperkenalkan program Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Darat sebagai persediaan melahirkan pemimpin pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kalangan graduan universiti.

Timbalan Komandan Palapes Darat UMK, Profesor Ir Ts Mejar Dr Ahmad Ziad Sulaiman berkata, Palapes UMK dikuatkuasakan dan diluluskan penubuhannya oleh Majlis ATM pada 20 Ogos tahun lalu dan beroperasi pada Mei lalu.

Ahmad Ziad - Foto UMK
Ahmad Ziad - Foto UMK

Menurutnya yang juga Pengarah Kanan Pusat Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) UMK, penubuhan Palapes di universiti awam yang disertai para intelek dilihat sejajar dengan hasrat kerajaan membentuk warganegara cemerlang dan mantap dari segi fizikal serta mental untuk menghadapi pelbagai anasir yang mendatang.

“Pasukan Latihan Pegawai Simpanan atau Palapes bertujuan melahirkan pegawai simpanan dalam kalangan mahasiswa bagi memenuhi keperluan ATM pada masa depan.

“Selain itu, program ini turut menyokong usaha kerajaan bagi membentuk kualiti seorang warganegara yang sempurna yang mempunyai jati diri, berdisiplin, membentuk nilai kepimpinan pelajar dan mempunyai ciri-ciri mempertahankan kepentingan negara,” katanya.

Beliau berkata, dalam aspek teori ketenteraan, pertahanan negara tidak boleh bergantung kepada barisan hadapan semata-mata kerana barisan belakang (anggota sukarela) juga amat penting di dalam perlaksanaan sesuatu misi dan operasi.

“Palapes merupakan salah satu cabang perkhidmatan di dalam cabang-cabang perkhidmatan ATM selain laut dan udara.

Artikel Berkaitan:

“Seorang pegawai kadet akan dilatih dalam tempoh tiga tahun di universiti awam mengikut kepada silibus ketenteraan khususnya di dalam aspek taktikal, persenjataan, kepimpinan, rejimental dan yang paling utamanya adalah taat setia yang ditumpahkan kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Katanya, setiap pasukan Palapes mempunyai Markas Latihan cawangan masing-masing dan sehingga kini, Palapes darat ditubuhkan di 20 IPTA.

“Latihan Palapes dijalankan pada di hujung minggu iaitu latihan tempatan, latihan berterusan, latihan khemah tahunan dan latihan pentauliahan.

“Kokurikulum Palapes sama ada darat, laut dan udara amat mencabar yang memerlukan kesabaran, komitmen, kewibawaan serta kemampuan pegawai kadet kerana perlu memiliki ketahanan mental dan fizikal tinggi,” katanya.