Penjenayah bertindak agresif acu pistol ke arah polis

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat (tengah) menunjukkan pistol jenis revolver.38 berwarna perak bertulis Smith dan Wesson yang dirampas. - FOTO SINAR HARIAN
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat (tengah) menunjukkan pistol jenis revolver.38 berwarna perak bertulis Smith dan Wesson yang dirampas. - FOTO SINAR HARIAN
A
A
A

BACHOK - Polis menahan tiga ahli geng pengedaran dadah dan samun bersenjata api di tepi tali air di Kampung Keting, Gunong di sini pada awal pagi Selasa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kesemua suspek berusia 26 hingga 39 tahun itu ditahan dalam satu serbuan oleh anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (IPD) Bachok serta Balai Polis Gunung pada jam 1.30 pagi.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan selepas polis menerima maklumat pengedaran dadah dan hasil intipan, menemui sebuah kereta jenis Proton Pesona berwarna kelabu yang berada di tepi tali air dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota mendekati mereka dan memperkenalkan diri, namun tiga lelaki di dalam kereta itu bertindak agresif untuk melepaskan diri.

“Polis bertindak memecahkan cermin hadapan dan salah seorang suspek mengambil pistol lalu mengacukan ke arah anggota, namun berjaya dihalang,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.

Pistol jenis revolver.38 dan peluru hidup yang dirampas oleh polis dalam serbuan pada Selasa. - FOTO SINAR HARIAN
Pistol jenis revolver.38 dan peluru hidup yang dirampas oleh polis dalam serbuan pada Selasa. - FOTO SINAR HARIAN

Beliau sebelum itu menghadiri Mesyuarat Ketua Polis dan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan dan Rendah Polis Kontinjen Kelantan Tahun 2021.

Shafien berkata, polis merampas pistol jenis revolver.38 berwarna perak bertulis Smith dan Wesson yang berisi enam peluru perak bertulisan A USA 38 SPL, manakala 28 peluru hidup yang diletakkan dalam sebuah beg kecil.

Artikel Berkaitan:

“Pemeriksaan lanjut juga menemui gari dan dadah iaitu 66 biji pil kuda, 20 gram heroin dan 7.6 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM10,000.

“Semakan terhadap suspek yang berusia 38 tahun ada 17 rekod lampau, suspek berusia 26 tahun (14 rekod lampau), manakala suspek berusia 39 tahun (tujuh rekod lampau) berkait pelbagai kes jenayah termasuk samun dan dadah,” katanya.

Menurut beliau, kesemua suspek adalah dikehendaki bagi membantu siasatan kes rompakan bersenjata api di Gua Musang pada bulan lalu.

“Geng ini aktif menjalankan kegiatan jenayah pengedaran dadah dan rompakan bersenjata sejak tiga bulan lalu dengan modus operandi mensasarkan mangsa yang memiliki barangan berharga dan mewah.

Shafien (tengah) menunjukkan 28 peluru hidup yang dirampas dalam serbuan itu. - FOTO SINAR HARIAN
Shafien (tengah) menunjukkan 28 peluru hidup yang dirampas dalam serbuan itu. - FOTO SINAR HARIAN

“Mereka ditahan reman selama tujuh sehingga Selasa bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 dan 8(a) Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1960, Seksyen 89 (a) Akta Polis, Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39B, 39A(1), 12(2), 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.