Tragedi kren SUKE: Syarikat pembinaan didenda RM45,000

Seramai tiga lelaki maut dan seorang parah dalam kejadian struktur besi kren ‘launcher’ terjatuh di tapak pembinaan SUKE berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras pada Mac lalu.
Seramai tiga lelaki maut dan seorang parah dalam kejadian struktur besi kren ‘launcher’ terjatuh di tapak pembinaan SUKE berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras pada Mac lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat pembinaan didenda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, kerana gagal untuk memastikan keselamatan pengendalian ‘launching gantry’ sehingga menyebabkan kemalangan kepada tiga pekerjanya di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Mac lalu.

Zhongshi International Sdn Bhd dikenakan hukuman itu selepas wakilnya, Pengurus Sumber Manusia, Sim Li En, selaku orang kena saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu sebagai majikan telah gagal untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja.

Ia gagal untuk memastikan pengendalian ‘launching gantry’ yang selamat semasa kerja-kerja penyenggaraan sehingga menyebabkan kemalangan kepada tiga pekerja warga China iaitu Wu Tongzheng, Ding Kunfu dan Jiang Jinbao.

Kesalahan dilakukan di 3PT39 sehingga 3PT41, Pakej CA3, Projek Penswastaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang Elevated Expressway (SUKE), Jalan Alam Damai di sini, lebih kurang jam 8.45 pagi pada 22 Mac lalu.

Pertuduhan di bawah Seksyen 15(1) Akta keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 19 Akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan selama tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Semasa prosiding, OKS yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman denda pada kadar rendah dengan alasan syarikatnya telah membuat langkah-langkah untuk mengelakkan kemalangan berlaku dan memastikan ia tidak berulang.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Keselamatan dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abdul Rahim Sabri mencadangkan mahkamah mengenakan hukuman maksimum terhadap syarikat itu.

Artikel Berkaitan:

"Kes ini merupakan kemalangan berprofil tinggi sehingga mendapat liputan media selain telah melibatkan kematian tiga nyawa," katanya.

Pada 22 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan, tiga individu maut dan seorang lelaki parah dalam kejadian struktur besi kren ‘launcher’ terjatuh di tapak pembinaan SUKE berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras.

ARTIKEL BERKAITAN: [DIKEMASKINI] Tiga maut struktur besi kren terjatuh