Dewan kecoh ketika Vijay bongkar isu rasuah

Vijay ketika berucap ketika persidangan Dewan Undangan Negeri di Chennai pada 7 September 2026. Foto: YouTube @tamilnaduassembly
Vijay ketika berucap ketika persidangan Dewan Undangan Negeri di Chennai pada 7 September 2026. Foto: YouTube @tamilnaduassembly
A
A
A

CHENNAI - Persidangan Dewan Undangan Negeri Tamil Nadu bertukar kecoh pada Isnin apabila wakil rakyat Dravida Munnetra Kazhagam (DMK) mengadakan protes selepas Ketua Menteri, C Joseph Vijay melancarkan serangan terhadap parti itu dan barisan kepimpinannya.

Ketegangan tercetus ketika Vijay menyampaikan ucapan balasnya apabila beliau membangkitkan beberapa kontroversi yang pernah dikaitkan dengan DMK termasuk laporan Suruhanjaya Sarkaria pada era 1970-an dan projek bekalan air Veeranam.

Suruhanjaya Sarkaria ditubuhkan kerajaan pusat India pada 1976 untuk menyiasat pelbagai dakwaan salah laku termasuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa terhadap kerajaan DMK ketika dipimpin bekas Ketua Menteri Tamil Nadu, M Karunanidhi.

Vijay turut membangkitkan dakwaan kutipan ‘dana parti’ oleh pihak yang dirujuknya sebagai kumpulan ‘Karur’.

Karur merupakan sebuah kawasan di Tamil Nadu dan istilah ‘kumpulan Karur’ digunakan Vijay ketika membuat dakwaan berhubung kutipan dana berkenaan.

Wakil rakyat DMK yang pada mulanya berdiam diri ketika Vijay memulakan ucapannya pada jam 9.56 pagi waktu tempatan kemudian mula melaungkan slogan dan mempamerkan risalah.

Keadaan semakin tegang apabila mereka mengelilingi kerusi Speaker dan podium sebelum mengadakan protes duduk di atas lantai Dewan.

Tindakan itu berlaku selepas Vijay menyimpang daripada teks ucapan yang disediakan, meninggikan suara dan menyerang DMK dengan membangkitkan beberapa kes satu demi satu termasuk menuduh pemimpin parti berkenaan mengamalkan nepotisme.

Vijay turut memetik lagu bekas Ketua Menteri Tamil Nadu yang juga pengasas All India Anna Dravida Munnetra Kazhagam (AIADMK), M G Ramachandran atau MGR serta kata-kata mendiang penyair Tamil, Kannadasan ketika mengkritik DMK.

Artikel Berkaitan:

“Anda selalu mengatakan bahawa anda pernah berdepan MISA (Akta Penyelenggaraan Keselamatan Dalam Negeri). Tetapi kami mengetahui sejarah di sebalik MISA,” katanya.

Vijay turut menyatakan dirinya berada dalam kelompok kepimpinan Annadurai dan MGR tanpa menyebut Ketua Menteri lain yang pernah memerintah Tamil Nadu.

Speaker enggan beri laluan

Dalam pada itu, Speaker J.C.D. Prabhakar pada mulanya tidak memenuhi tuntutan wakil DMK yang mahu diberikan peluang untuk menjawab serangan Vijay.

Prabhakar mendakwa tindakan wakil rakyat DMK bertujuan menghalang ucapan Ketua Menteri daripada sampai kepada rakyat.

“Anda mengadu bahawa beliau tidak bercakap. Apabila beliau bercakap, anda tidak membenarkannya bercakap walaupun seminit.

“Anda sudah mencuba sedaya upaya dan kini anda sudah penat,” katanya.

Timbalan ketua DMK, K.N. Nehru kemudian dilihat bercakap dengan Vijay dan memintanya menggesa Speaker memberikan peluang kepada pemimpin mereka, Udhayanidhi Stalin untuk menjawab.

Vijay bagaimanapun memberi isyarat bahawa keputusan berhubung perkara itu hanya boleh dibuat Speaker.

Ketika beberapa wakil DMK yang duduk di atas lantai mengalami kesukaran untuk bangun, Vijay turut dilihat menghulurkan tangan membantu wakil rakyat DMK, Durai Chandrasekar berdiri.

Vijay kemudiannya meminta Speaker membenarkan wakil DMK berucap.

Bagaimanapun, selepas mereka kembali ke tempat duduk masing-masing, Speaker tetap enggan memberikan laluan dengan alasan wakil DMK sebelum itu tidak membenarkan Ketua Menteri menyampaikan ucapannya walaupun seminit. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!