Bergabung buat laporan polis

Antara wakil gabungan Pas, UMNO, MIC, DHPP dan beberapa NGO di daerah ini tampil membuat laporan polis terhadap Guan Eng.
Antara wakil gabungan Pas, UMNO, MIC, DHPP dan beberapa NGO di daerah ini tampil membuat laporan polis terhadap Guan Eng.
A
A
A

BENTONG- Pas, UMNO, MIC, Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) dan beberapa NGO di daerah ini tampil membuat laporan polis berhubung kenyataan melampau Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng yang mengumpamakan kerjasama Pas dan UMNO sebagai mengisytihar perang ke atas bukan Melayu.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong kira-kira jam 9 pagi tadi.

Sebanyak tujuh laporan polis dibuat termasuk berhubung kenyataan Guan Eng yang berbaur hasutan itu dan kes menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Antara yang hadir Timbalan Yang Dipertua Pas Bentong, Mohd. Khairuddin Abdullah, Setiausaha Umno Bentong, Ahmad Nilhakim Abdul Rahim, Pengerusi MIC Pahang, V Arumugam dan Pengerusi DHPP Pahang, N Bala Subramaniam.

Mohd. Khairuddin berkata, kenyataan Guan Eng kononnya kerjasama antara Pas dan UMNO sebagai pengisytiharan perang terhadap bukan Melayu amat bahaya.

Menurutnya, persepsi pemimpin DAP itu amat tidak berasas dan boleh menganggu gugat keharmonian rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Kita sudah lama hidup dalam keadan aman dan harmoni, jadi tidak ada sebab untuk memerangi mana-mana pihak. Malah Pas ada DHPP yang terdiri masyarakat bukan Melayu begitu juga BN ada MIC dan MCA, jadi tak logik nak berperang.

“Sebaliknya kerjasama antara Pas dan UMNO demi keamanan dan tidak mahu negara kita yang aman ini bertukar menjadi huru hara. Sebagai menteri kanan, dia tidak sepatutnya membuat kenyataan sedemikian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad Nilhakim berkata, laporan polis yang dibuat itu sebagai bantahan dan rasa tidak puas hati atas segala yang dilaksana dan diperkatakan pimpinan kerajaan hari ini di bawah PH.

“Perkara yang terjadi ini merupakan rentetan daripada kegagalan Kerajaan Pusat menangani isu sensitif ini dan kita di peringkat akar umbi cukup bimbang kerana selama hari ini perkara sebegini tidak berlaku.

"Kita saling hormat menghormati antara kaum dan akhirnya senario yang tidak sepatutnya berlaku sudah mulai nampak apabila ada pihak mula mempertikaikan agama lain,” katanya.

Bagi V Arumugam, kenyataan berbaur hasutan dan provokasi perlu dibendung segara apatah lagi dibuat seorang menteri kanan.

"Kita desak kerajaan ambil tindakan terhadap Guan Eng kerana kenyataan beliau itu boleh menghancurkan usaha membina negara bangsa selama ini,” katanya.