'Saya bukan gila kuasa, bukan pemangku Presiden PRS'

Joseph
Joseph
A
A
A

KUCHING -Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai pengganti Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) mendiang Tan Sri Dr James Jemut Masing, yang meninggal dunia Ahad lepas.

Timbalan Presiden PRS, Datuk Joseph Salang Gandum berkata, dalam fikiran ahli parti itu, Masing masih presiden mereka.

“Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai pengganti mendiang Presiden kami. Bagi kami, beliau masih ketua kami dan semangatnya masih bersama kami.

“Kami belum memikirkan siapa yang patut menggantikan beliau,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Masing, 72, yang merupakan Timbalan Ketua Menteri Sarawak dan Ahli Dewan Undangan Negeri Baleh, meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak (NSMC) di Petra Jaya, Kuching pada 7.05 pagi Ahad lepas.

Presiden PRS itu telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak pada September selepas diuji positif Covid-19 sebelum dipindahkan ke NSMC untuk rawatan susulan.

Salang turut menyangkal dakwaan bahawa beliau gila kuasa dan menjelaskan beliau hanya memikul tanggungjawab yang ditinggalkan oleh mendiang Masing.

“Saya bukan gila kuasa. Ya, saya Timbalan Presiden tetapi saya bukan pemangku Presiden PRS. Saya hanya memikul tanggungjawab yang ditinggalkan oleh mendiang Presiden kami tetapi tidak mengisi jawatannya.

Artikel Berkaitan:

“Jawatan Presiden masih kosong. Sebagai Timbalan Presiden, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menyatukan parti,” katanya. -Bernama