Ucapan Khairy bukan merujuk kes liwat Anwar: Peguam

Khairy Jamaluddin dan Anwar Ibrahim
Khairy Jamaluddin dan Anwar Ibrahim
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Rayuan pada Selasa diberitahu bahawa ucapan Khairy Jamaluddin Abu Bakar semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008 merujuk kepada gabungan atau kerjasama antara parti pembangkang bagi menghadapi pilihan raya itu dan tidak mempunyai kaitan dengan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Khairy berkata, ucapan itu mengandungi jenaka kiasan bagi menyampaikan mesej bahawa kerjasama antara parti pembangkang hanyalah satu perkahwinan untuk kesenangan atau kahwin mutaah.

"Berkali-kali perayu (Khairy) merujuk kepada fakta bahawa beliau tidak memaksudkan sebarang perlakuan homoseksualiti atau seksual seperti yang didakwa oleh Anwar.

"Anak guam saya bercakap tentang parti politik. Anda tidak boleh meliwat parti politik, itu adalah satu tindakan yang mustahil. Ia dinyatakan dalam bentuk ayat kiasan," hujah Muhammad Shafee melalui telesidang dari New York, Amerika Syarikat dalam prosiding rayuan Khairy terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan saman fitnah yang dikemukakan Anwar

Pada 25 Oktober lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Muhammad Shafee yang berdepan pertuduhan pengubahan wang haram dan mengemukakan penyata cukai tidak betul, untuk memperoleh pelepasan sementara bagi pasportnya yang disita bagi membolehkan beliau berlepas ke New York untuk menguruskan anak lelakinya yang melanjutkan pengajian.

Beliau juga berhujah Khairy bercakap mengenai gabungan atau kerjasama antara parti pembangkang iaitu Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP semata-mata bagi tujuan menghadapi pilihan raya.

"Beliau membandingkan gabungan atau kerjasama itu dengan perkahwinan untuk kesenangan atau kahwin kontrak yang pada asasnya tidak bertujuan untuk kekal dan hanya dilakukan demi mencapai tujuan tertentu dalam jangka pendek.

"Konteks kata-kata ini diucapkan pada dasarnya ialah perihal parti politik pembangkang yang bersatu namun tidak terus kekal bersama manakala Barisan Nasional dan parti komponennya kekal bersama.

Artikel Berkaitan:

"Anak guam saya bercakap dari segi kahwin mutaah yang serupa dengan perkahwinan sementara atau kontrak dan dikaitkan dengan parti pembangkang serta cara mereka bertindak," katanya.

Prosiding itu, yang berlangsung secara maya di hadapan panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Lee Swee Seng, Datuk Darryl Goon Siew Chye dan Datuk Ghazali Cha, bersambung pada 17 Januari tahun depan.

Anwar, yang juga Presiden PKR, menyaman Khairy, yang ketika itu Menteri Belia dan Sukan serta Naib Ketua Pemuda UMNO, pada 7 Mac 2008 mendakwa Khairy membuat kenyataan memfitnahnya dalam ceramah di Lembah Pantai pada 20 Februari tahun sama dan menyebabkan klip video bertajuk ‘Anwar and kin no threat’ disiarkan di portal berita.

Pada September 2017, Hakim Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan membenarkan saman Anwar terhadap Khairy dan memerintahkan beliau membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am kepada Anwar.

Hakim itu turut menolak permohonan Khairy untuk meminda penyataan pembelaannya bagi menyatakan bahawa kenyataan beliau adalah komen yang wajar.

Khairy kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi namun pada Februari 2018, Mahkamah Rayuan membatalkannya selepas membenarkan permohonan Anwar.

Pada 15 Disember tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Khairy agar merit kes itu didengar sepenuhnya di Mahkamah Rayuan. - Bernama