X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Tulang kaki reput tepi sungai milik wanita mati dibunuh

Polis menemui rangka dan tulang dipercayai bahagian tubuh badan manusia dari bahagian kepala hingga ke pinggang dalam keadaan reput di kawasan berhampiran tebing Sungai Jebong, Kuala Sepetang.
A
A

TAIPING - Penemuan tulang bahagian kaki di tebing Sungai Jebong, Kuala Sepetang di sini pada Rabu lalu membongkarkan kejadian bunuh melibatkan seorang wanita berusia 31 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, laporan diterima daripada orang awam yang menjumpai tulang dipercayai milik manusia dalam keadaan tidak sempurna dan reput.

"Siasatan lanjut oleh pasukan Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menjumpai bungkusan kain batik, selimut dan sejadah yang ditanam di kawasan berhampiran.

"Dalam bungkusan tersebut terdapat rangka dan tulang dipercayai bahagian tubuh badan manusia dari bahagian kepala hingga ke pinggang dalam keadaan reput sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurutnya, hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh tidak dapat mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.

Anuar berkata, mangsa dipercayai mati dalam tempoh antara dua atau empat minggu lalu.

"Bertindak atas maklumat, polis melakukan tangkapan ke atas seorang lelaki yang berusia 34 tahun yang merupakan orang pengawasan polis (OPP) pada Jumaat.

"Suspek didapati telah melanggar syarat pengawasan di bawah Seksyen 15(4) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959," katanya.

Anuar berkata, hasil soal siasat mendapati suspek telah bergaduh dengan mangsa yang juga teman wanitanya di sebuah bilik sewa di Taiping.

"Suspek mengakui bertindak memukul kepala mangsa menggunakan batang mop hingga mati sebelum menanam mangsa di lokasi tersebut.

"Suspek turut menunjukkan kepada pihak polis lokasi mangsa telah dibunuh dan ditanam," katanya.

Katanya, suspek direman selama tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!