Kadar indeks jenayah turun 17 peratus

No Image Caption
A
A
A

NILAI - Kadar Indeks Jenayah daerah Nilai bagi Januari hingga Disember tahun ini mencatatkan penurunan sebanyak 17 peratus berbanding tahun lepas iaitu 1,090 kes kepada 907 kes.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohamad Nor Marzukee berkata, kes kecurian motosikal menunjukkan penurunan paling banyak iaitu daripada 190 kes kepada 110 kes.

“Daripada jumlah keseluruhan Indeks Jenayah tahun ini iaitu 907 kes, sebanyak 59 peratus berjaya diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Hari Bersama Pelanggan Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai anjuran bersama Mesamall di sini, hari ini.

“Indeks Jenayah Nilai tidak ada yang menggusarkan rakyat cuma saya nak tekankan agar mereka lebih berwaspada dan jangan terlalu cuai.

“Kalau tinggalkan rumah sebaiknya maklumkan kepada polis, pengawal keselamatan atau jiran, itu adalah yang sebaiknya,” katanya.

Pada majlis Hari Bersama Pelanggan, sebanyak 400 saman telah dibayar orang ramai melibatkan jumlah kutipan sebanyak RM60,000.

Program yang berlangsung sehingga pukul 4.30 petang ini menawarkan diskaun saman sebanyak 50 peratus. - Bernama

Artikel Berkaitan: