Kejohanan golf promosi sukan pelancongan Selangor

Azrul Shah (belakang, lima dari kanan) bersama rakan penaja Tourism Selangor Golf Tournament
Azrul Shah (belakang, lima dari kanan) bersama rakan penaja Tourism Selangor Golf Tournament
A
A
A

HULU SELANGOR - Tourism Selangor perkukuh sektor pelancongan sukan melalui penganjuran Tourism Selangor Golf Tournament yang bakal berlangsung di Kelab Golf Bukit Beruntung pada 12 Disember depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata, seramai 120 peserta terdiri daripada wakil sektor kerajaan dan swasta, selebriti, ekspatriat, ejen pelancongan serta pemain golf domestik akan menyertai kejohanan kali ketiga itu.

Menurutnya, jumlah penyertaan tahun ini merosot berbanding tahun sebelumnya kerana bersifat selektif susulan terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Bagaimanapun, Tourism Selangor yakin kejohanan tersebut dapat membantu mempromosi pakej sukan golf yang terjejas teruk akibat Covid-19 selain memperkukuh jaringan serta mencipta peluang masa hadapan antara peserta dengan rakan penaja.

"Saya yakin sukan golf selamat untuk diteruskan kerana kelab golf di Selangor mengamalkan pematuhan prosedur SOP yang ditetapkan," katanya pada sidang media di Kelab Golf Bukit Beruntung pada Selasa.

Penganjuran kali ini mendapat kerjasama daripada Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Persatuan Golf Malaysia dan KDEB Waste Management.

Antara rakan penaja pada kejohonan kali ini termasuk Westport Malaysia Berhad, Northport Malaysia Berhad, Central Spectrum (M) Sdn Bhd, Srixon, Titoni of Switzerland, Liquid Marketing Sdn Bhd, Farm in the City, Puas Snack Pack, Liberty Golf Services dan The ClubHouse.

Pada perkembangan sama, Azrul Shah berkata, Tourism Selangor komited menjadikan sukan golf sebagai salah satu sektor pelancongan terpenting di negeri tersebut berdasarkan pelan lima tahun yang dirangka.

Artikel Berkaitan:

"Selangor mempunyai 29 kelab golf yang kebanyakannya dibina mengikut standard antarabangsa dan diiktiraf melalui anugerah yang dimenangi.

"Kita meletakkan sasaran membawa pemain golf profesional luar negara ke Selangor melalui penganjuran klinik sebagai langkah promosi sukan pelancongan di peringkat antarabangsa," katanya.