Kerajaan benar kemasukan 32,000 pekerja asing

Pekerja asing - Foto Bernama
Pekerja asing - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju membenarkan kemasukan seramai 32,000 orang pekerja asing secara pengecualian khas bagi memenuhi keperluan tenaga kerja untuk sektor perladangan khususnya kelapa sawit.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, persetujuan itu diputuskan oleh Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Oktober lalu.

"Persetujuan membabitkan semua sektor yang dibenarkan dengan sektor perladangan menjadi sektor pertama yang dibenarkan untuk menerima kemasukan pekerja asing baharu.

"SOP yang sama akan dikuatkuasakan kepada semua sektor yang ditetapkan dan diluluskan secara kes mengikut kes oleh Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Steven Choong Shiau Yoon (Bebas-Tebrau) mengenai sektor yang dibenarkan menerima kemasukan pekerja asing baharu, berapa pekerja asing yang akan diluluskan bagi setiap sektor dan tempoh kelonggaran itu.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, kerajaan ketika ini masih lagi meneliti jumlah pekerja asing yang akan diluluskan bagi setiap sektor yang dibenarkan.

Katanya, kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan sedang melaksanakan analisis terperinci mengenai perkara ini.

"Ia bagi memastikan kerajaan mempunyai hala tuju strategik dalam mencapai keseimbangan antara ekonomi dan kesihatan ketika negara masih berusaha memerangi Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan: