Ibu bukan 'superwoman' tapi...

Wan Maimunah
Wan Maimunah
A
A
A

MELAKA TENGAH - Pelakon veteran, Wan Maimunah Wan Abdul Aziz sebak dan terharu dipilih menerima Anugerah Tokoh Wanita 2019 pada sambutan Hari Wanita peringkat negeri, di Pusat Dangangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.

Anugerah itu disampaikan Pengerusi Pertubuhan Amal Isteri Wakil Rakyat PH Melaka (HARWANIS) yang juga isteri Ketua Menteri Melaka, Dalilah Awaludin.

Wan Maimunah yang kini menetap bersama anaknya di Sungai Udang tidak menyangka diraikan menerusi anugerah tersebut dalam usia sudah meningkat dan menganggap sebagai rezeki yang diberikan ALLAH.

Menurutnya, anugerah itu bukanlah untuk dibanggakan namun sebagai satu perangsang untuk menjadi hamba ALLAH SWT yang lebih baik walau di mana berada selain dijauhi sifat takbur dan riak.

"Ibu hiba dan tak pernah menjangkakan akan menerima anugerah di usia begini, rupanya masih ada lagi yang menghargai dan sayang.

Wan Maimunah
Wan Maimunah

"Jujur ibu bukan 'superwoman' (wanita hebat) tetapi ALLAH SWT kurniakan ibu kecekalan di hati," katanya yang lebih selesa dipanggil ibu.

Tambah Wan Maimunah, beliau sentiasa berpegang kepada 'masa itu ibarat nyawa' walaupun berpangkat jutawan sekalipun, namun tidak akan boleh membeli masa yang begitu bernilai.

Artikel Berkaitan:

"Apa pun kita semua ibarat lima jari, tak ada lima (solat lima waktu) maka pincanglah diri dan yang penting jangan lupa pada agama dan tanggungjawab kepada ibu bapa," katanya.

Terdahulu, Dalilah dalam ucapannya meminta wanita terus memainkan peranan untuk membantu membangunkan negara.

"Peranan wanita begitu penting, tanpa wanita, negara tidak akan dapat membangun seperti sekarang, sumbangan wanita dalam semua bidang iaitu politik, ekonomi, sosial dan agama sangat besar dan selayaknya diberi pengiktirafan," katanya.

Wan Maimunah mula menceburi bidang lakonan pada tahun 1972 dan memenangi Artis Komedi Wanita Popular selama lima tahun berturut-turut dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada tahun 1992 hingga 1996.