Perkenal hospital penyelidikan hibrid atasi isu doktor kontrak

Najib membahaskan mengenai Bajet 2022 pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama
Najib membahaskan mengenai Bajet 2022 pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan dicadangkan memperkenalkan dan memulakan rangkaian hospital penyelidikan hibrid di seluruh negara membabitkan kerjasama awam dan swasta.

Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) berkata, ia sebagai penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi isu 23,000 doktor kontrak yang dialami pada masa ini.

“Di hospital inilah pegawai kontrak perubatan dan pergigian ditempatkan dengan perjawatan secara tetap.

“Kos perubatan rangkaian hospital ini bertujuan memenuhi permintaan golongan B40 dan M40 supaya pilihan bukan sahaja antara hospital swasta yang mewah dan mahal dan hospital kerajaan.

“Di sinilah sebenarnya penyelesaian kepada isu doktor kontrak ketika ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Bajet) 2022 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu berkata, hospital yang menggunakan modul seperti ini ialah Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dibiayai oleh pihak swasta dengan kerjasama universiti berkenaan.

“Pandemik Covid-19 menunjukkan keperluan Malaysia untuk menaikkan kapasiti perkhidmatan kesihatan seluruh negara. Jadi saya sarankan kerajaan meneruskan rancangan ini dengan kerjasama pihak swasta.

“Dengan peruntukan kerajaan, hospital hibrid ini boleh membantu ke arah penyelesaian masalah 23,000 pegawai perubatan kontrak dan pergigian yang dihadapi kerajaan pada masa ini,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Najib dalam ucapan perbahasannya turut menjelaskan mengenai konsep kontrak kepada pegawai perubatan.

Menurutnya ia diwujudkan pada tahun 2016 oleh kerajaan pada masa itu bagi membantu mereka menjadi doktor secepat mungkin selepas menamatkan pengajian.