Projek kolam udang dihentikan sementara: MB Perak

Mujahid (dua dari kiri) ketika meninjau keadaan kawasan yang didakwa berlakunya pencerobohan di kawasan projek kolam ternakan udang di pesisir pantai di Kampung Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang.
Mujahid (dua dari kiri) ketika meninjau keadaan kawasan yang didakwa berlakunya pencerobohan di kawasan projek kolam ternakan udang di pesisir pantai di Kampung Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang.
A
A
A

PADANG RENGAS - Kerja-kerja fizikal di kawasan projek kolam ternakan udang di pesisir pantai di Kampung Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang yang didakwa berlakunya pencerobohan dihentikan sementara.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, notis pemberhentian kerja-kerja itu dikeluarkan Pejabat Tanah dan Daerah serta Majlis Daerah Kerian kepada pemaju terlibat selepas mendapati berlakunya pelanggaran syarat kebenaran merancang.

Tanah seluas 80 hektar milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) itu telah dipajakkan kepada pemaju bagi menjalankan kerja-kerja laluan jalan.

"Setiap pengusaha (pemaju) tertakluk kepada kebenaran merancang daripada Pejabat Tanah dan Daerah serta tindakan boleh diambil jika mereka ingkar dan menyalahi peraturan ditetapkan.

"Jadi dalam hal ini pengusaha dikatakan melanggar beberapa syarat. Arahan telah dikeluarkan suruh berhenti dulu bermakna tiada kerja-kerja fizikal dijalankan di situ.

Pencerobohan didakwa telah menyekat laluan nelayan pantai untuk mencari hasil laut sebagai sumber pendapatan harian mereka.
Pencerobohan didakwa telah menyekat laluan nelayan pantai untuk mencari hasil laut sebagai sumber pendapatan harian mereka.

Artikel Berkaitan:

"PPPNP juga mengarahkan penyewa tanah untuk mengikut peraturan seperti ditentukan oleh Pejabat Daerah dan Majlis Daerah Kerian," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi Townhall Menteri Besar bersama Penjawat Awam dan Warga Keselamatan di Dewan Millenium Lubok Merbau di sini pada Isnin.

Beliau mengulas dakwaan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengenai pencerobohan sungai di kawasan itu bagi pembinaan jalan masuk ke kawasan projek milik PPPNP.

Mujahid mendakwa pencerobohan itu menyekat laluan nelayan pantai untuk mencari hasil laut sebagai sumber pendapatan harian mereka dan menjejaskan ekosistem habitat kawasan hutan paya kayu bakau.

"Saya telah beberapa kali turun padang mendengar aduan penduduk sekitar supaya Menteri Besar mengambil kira implikasi kelulusan projek ini.

"Menteri Besar perlu jelaskan apakah projek ini tetap diluluskan sedangkan saya mendapati notis pemberhentian kerja-kerja laluan jalan telah dikeluarkan kepada pemaju," katanya dalam kenyataan itu.