'Saya tidak guna mata wang kripto'

Hantaran Dr Mahathir menerusi Facebook pada Isnin.
Hantaran Dr Mahathir menerusi Facebook pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan bahawa beliau terlibat dalam aktiviti penggunaan serta mempromosikan mata wang kripto.

Dr Mahathir berkata, pejabatnya sebelum ini pernah membuat laporan terhadap iklan yang mendakwa beliau melabur dan menggalakkan penggunaan mata wang kripto berkenaan.

“Saya tidak mengguna mata wang kripto.

“Saya juga tidak galakkan orang mengguna (mata wang kripto) tersebut.

Saya pegang kepada ‘flat money’ (mata wang flat) atau wang fizikal.

“Jika ada promosi dalam iklan atau laman web yang kononnya saya galakkan kegunaan mata wang kripto, ia palsu,” katanya menerusi Facebook beliau pada Isnin.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, ada antara mereka yang terpedaya dengan iklan-iklan tersebut.

Malah, katanya, sesetengah iklan itu seolah-olah disiarkan oleh media tempatan.

Artikel Berkaitan:

“Saya difahamkan media tempatan juga sudah dimaklumkan dan mereka sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Pihak awam perlu memaklumkan bahawa perkara seperti ini tidak mudah ditangani kerana pelbagai laman web dan iklan palsu dapat dibangunkan dengan cepat.

“Tutup satu, timbul sepuluh,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, penipuan dan pemalsuan mengguna nama beliau telah berlaku sebelum zaman media sosial dan internet.

Ujarnya, ada pihak yang terpedaya dengan promosi palsu peluang niaga yang kononnya melibatkan diri beliau.

“Sesiapa yang sangsi, boleh periksa dengan pejabat saya.

Saya tidak pernah dan tak akan terlibat dengan apa-apa skim cepat kaya,” jelasnya.

Dr Mahathir berkata, terdapat juga laporan yang mendakwa bahawa beliau mempunyai kekayaan berbilion ringgit.

“Semasa dalam kerajaan saya sudah mengisytiharkan harta.

Kalau ada yang masih nak percaya saya ada kekayaan berbilion, terpulanglah,” kata beliau.