Maritim tahan bot persiaran beroperasi tanpa lesen

Bot persiaran yang ditahan Maritim kerana beroperasi tanpa lesen dan insurans.- Foto ihsan Maritim
Bot persiaran yang ditahan Maritim kerana beroperasi tanpa lesen dan insurans.- Foto ihsan Maritim
A
A
A

PORT DICKSON - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Melaka dan Negeri Sembilan menahan sebuah bot persiaran yang beroperasi tanpa lesen dan insurans di perairan Port Dickson pada Sabtu lalu.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, bot yang membawa penumpang itu ditahan pada jam 7.05 malam ketika rondaan rutin di kedudukan 0.9 batu nautika barat daya Telok Kemang.

"Ketika pemeriksaan, bot persiaran tanpa sebarang tanda nama itu didapati gagal mengemukakan sebarang lesen dan insurans yang sah dari Jabatan Laut Malaysia untuk beroperasi serta membawa penumpang di perairan Telok Kemang.

"Pengemudi dan pemilik bot persiaran seterusnya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Beliau berkata, pihaknya akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan serta pematuhan keselamatan di laut.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kesalahan jenayah dan kecemasan di laut diminta terus menghubungi Pusat Operasi Maritim 06-3876730 dan 999 yang beroperasi 24 jam," katanya.

Artikel Berkaitan: