Takut isteri tahu dimadu alasan tak daftar semula nikah sempadan

Gambar hiasan .(Gambar Kecil) Fazru Anuar Yusof.
Gambar hiasan .(Gambar Kecil) Fazru Anuar Yusof.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Pasangan yang bernikah di sempadan atau di luar negara dinasihatkan supaya segera mendaftar semula pernikahan tersebut di pejabat agama di daerah masing-masing bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang-undang.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Terengganu (PPST), Fazrul Anuar Yusof berkata, pendaftaran ini bertujuan mengiktiraf perkahwinan mereka kerana bernikah di luar mukim, tanpa kebenaran pendaftar nikah dan berpoligami tanpa kebenaran Hakim Syarie (bagi isteri kedua) adalah satu kesalahan di negara ini.

‘’Bahkan, saksi-saksi nikah juga boleh didakwa kerana bersubahat dengan pasangan yang berkahwin di luar negara," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Menurut Fazrul Anuar, pasangan yang tidak mendaftarkan pernikahan mereka semula bakal berdepan beberapa risiko sekiranya rumah tangga mereka menghadapi masalah pada masa akan datang terutama melibatkan isteri dan anak-anak.

"Jika berlaku penceraian, pasangan terbabit tidak boleh membuat tuntutan nafkah dalam perkahwinan; eddah; mutaah; hutang dalam perkahwinan; harta sepencarian dan lain-lain berkaitan dalam perkahwinan termasuk tuntutan nafkah untuk anak-anak.

"Selain itu, mereka tidak boleh membuat tuntutan harta pusaka (akibat perkahwinan tidak diiktiraf di Malaysia), pasangan itu juga boleh didakwa di bawah kesalahan berkhalwat jika ditangkap oleh penguat kuasa syariah dan denda boleh dikenakan bagi setiap kesalahan yang dilakukan, jika disabitkan kesalahan," katanya.

Beliau memberitahu, antara alasan paling popular diberi lelaki yang tidak mendaftarkan pernikahan dengan pasangan baharu adalah kerana enggan menceraikan isteri tua selain tidak mahu isteri tua tahu dimadukan.

‘’Ada juga yang beri alasan enggan ibu bapa pihak perempuan tahu kerana hubungan tidak direstui keluarga.

Artikel Berkaitan:

“Atas alasan itulah mereka mengambil keputusan melangsungkan pernikahan di sempadan ataupun di luar negara kerana wali mujbir enggan memberi kebenaran kepada anaknya berkahwin dengan pasangan pilihan,’’ ujarnya.

Tegas Fazrul Anuar, sekiranya pasangan tidak menyegerakan mendaftar semula pernikahan, kes mereka akan menjadi semakin rumit akibat tidak boleh mengemukakan saksi-saksi nikah (saksi nikah sudah meninggal dunia) ataupun suami tidak memberi kerjasama kerana takut isteri akan membuat tuntutan-tuntutan selepas perkahwinan disahkan oleh Mahkamah Syariah seperti harta sepencarian; mutaah; nafkah diri atau anak dan berkait.

“Ada juga kes isteri kedua terpaksa membuat pengesahan perkahwinan selepas kematian suami kerana ingin menuntut harta pusaka si mati tetapi terpaksa mengambil masa yang lama untuk membuat pengesahan akibat ketiadaan saksi-saksi nikah yang masih hidup.

"Ia bergantung kepada Hakim Syarie sama ada untuk memberi pengiktirafan perkahwinan secara syarak atau dikenakan tindakan undang-undang setelah perbicaraan semula diadakan," katanya.

habis