Jakim perlu buat senarai semak penceramah

A
A

SUATU ketika dahulu, terpampang di muka depan sebuah akhbar wajah empat penceramah agama antara yang digambarkan akan disekat daripada muncul di televisyen dan radio.

Apabila berita mengenainya turut tular di media sosial, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam lantas membuat kenyataan menafikan dakwaan tersebut. Beliau cuma mengingatkan penceramah yang ingin muncul di televisyen atau dalam program keagamaan Jakim agar faham tiga teras perjuangan yang digariskan iaitu Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Modul Malaysia. Dalam hal ini, menteri berkenaan belum lagi berani mengeluarkan kenyataan tegas bahawa penceramah yang mencampuradukkan politik dalam ceramah agama atau cenderung menyokong mana-mana parti politik tidak akan dibenarkan berceramah di televisyen.

Nampaknya, hal ini berbeza dengan keberanian seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mengeluarkan kenyataan tegas di Dewan Rakyat bahawa Majlis Profesor Negara (MPN) akan dimansuhkan mulai tahun depan dan akan digantikan dengan MPN yang baharu.

Beliau memberikan alasan bahawa beberapa orang ahli MPN telah menggunakan platform itu untuk berpolitik dan menyokong parti politik kerajaan terdahulu. Menurutnya, ahli MPN mesti membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan akademik dan penyelidikan secara profesional bukan berkempen untuk kerajaan. Selaras dengan reformasi institusi kerajaan, sewajarnya campur tangan politik termasuk bermain politik sepatutnya tidak dibenarkan dalam mana-mana institusi kerajaan termasuklah Jakim. Kita tidak mahu penceramah agama mengajak audiens menentang dasar-dasar kerajaan yang tidak disokongnya secara tertutup mahupun terbuka. Jika mereka ingin menghentam kerajaan mereka boleh berbuat demikian dalam platform politik bukan dalam majlis ceramah agama yang dianjurkan oleh kerajaan.

Dalam rancangan popular kelolaan Jakim iaitu Forum Perdana Ehwal Islam yang disiarkan menerusi saluran 1 Televisyen Malaysia pada setiap malam Jumaat, kita dapati banyak kali panel penceramahnya adalah terdiri daripada orang yang sama. Hal ini seolah-olah menggambarkan berlaku pilih kasih dalam pemilihan penceramah.

Jika penceramah yang sama saja kerap muncul di kaca televisyen, sudah tentulah ada tanggapan yang kurang baik terhadap pegawai yang menyenaraikan penceramah. Sebagai contoh, ada kes penceramah yang dibawa berceramah di Sarawak dan dalam siri ceramah berikutnya dibawa pula ke sebuah politeknik di Terengganu dan seterusnya penceramah yang sama dibawa pula berceramah di Kedah dan Perak.

Tindakan ini bukan sahaja menyebabkan penonton Forum Perdana Ehwal Islam berasa bosan dengan penampilan oleh penceramah yang sama, malah penonton sudah semacam tahu apa yang akan diperkatakan oleh penceramah itu. Dan yang paling tidak baik impaknya ialah seolah-olah di negara kita kekurangan penceramah agama yang hebat atau tinggi ilmunya.

Penulis amat tertarik dengan satu siri ceramah mingguan Forum Perdana Ehwal Islam di Johor pada suatu ketika dahulu apabila dua penceramahnya terdiri daripada Kadi Daerah Tangkak dan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Agama Johor.

Disebabkan pertama kali menonton penceramah dalam kategori orang biasa kerana tiada gelaran Datuk atau profesor, penulis berasa amat kagum mendengar hujah dan idea yang mereka kemukakan secara kecindan bagi mengupas tajuk yang dibicarakan. Amat menarik sekali ceramah mereka.

Sepatutnya, Jakim dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyediakan senarai semak untuk penceramah yang sesuai untuk mengisi slot rancangan Islam di RTM. Cuba pastikan penceramah siri Forum Perdana Ehwal Islam saban minggu terdiri daripada penceramah yang berbeza.

Ceramah khas Forum Perdana Ehwal Islam yang diadakan di sesebuah negeri, cuba libatkan penceramah dari negeri itu sendiri sebagai penceramah bukan datang dari luar. Setiap negeri ada Jabatan Mufti, Jabatan Agama Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri, justeru kerjasama jabatan-jabatan ini boleh diminta untuk mencari penceramah yang sesuai, berkelayakan agama yang tinggi, pandai berbicara, mempunyai penampilan yang menarik dan bersih daripada percakapan berunsur politik.

Yang penting kita mesti bersikap adil dan memberikan peluang kepada ramai penceramah berkelayakan untuk menonjolkan diri termasuklah penceramah bebas.

* Penulis ialah Munsyi Dewan sejak tahun 1995. Beliau merupakan pesara pegawai pendidikan daerah dan bekas guru pakar Bahasa Melayu


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.