Restoran dijadikan pusat hiburan kena serbu

Restoran yang menjadi pusat hiburan diserbu polis pada malam Sabtu.
Restoran yang menjadi pusat hiburan diserbu polis pada malam Sabtu.
A
A
A

GEORGETOWN - Taktik sebuah pusat hiburan yang menggunakan lesen restoran untuk menjalankan aktiviti hiburan terbongkar selepas diserbu polis pada malam Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, serbuan dilakukan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang kira-kira jam 11 malam hasil daripada risikan yang dijalankan beberapa hari lalu.

Menurutnya, ketika serbuan premis tersebut didapati sedang memainkan muzik dengan kuat dan tiada sebarang penjarakan sosial dilakukan oleh pelanggan ketika berada dalam restoran itu.

"Hasil siasatan kami dapati modus operandi premis berkenaan yang menyalahgunakan lesen restoran adalah dengan menjalankan perniagaan makanan restoran pada awal operasi sebelum menukar aktiviti menjadi aktiviti seperti pusat hiburan dua jam sebelum premis ditutup jam 12 tengah malam,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Rahimi berkata, dalam serbuan itu seramai 15 warganegara asing yang mengunjungi pusat hiburan terbabit ditahan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

Katanya, turut ditahan empat wanita warganegara asing dipercayai bekerja sebagai pelanggan (GRO) dalam premis terbabit.

"Kompaun turut dikeluarkan kepada 39 pengunjung warga tempatan manakala penjaga premis ditahan atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa permit sah dan juga dikenakan tindakan kompaun.

"Kesemua tangkapan dibawa ke IPD timur Laut untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan: