'Buat apa takut Thailand'

Barisan pemain negara menjalani latihan menjelang aksi berdepan Thailand pada Ahad. - Foto Facebook FAM
Barisan pemain negara menjalani latihan menjelang aksi berdepan Thailand pada Ahad. - Foto Facebook FAM
A
A
A

SKUAD Bawah 22 tahun (B-22) negara diharap kekal fokus menjelang pertemuan menentang Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan J Kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Stadium MFF, Ulaanbaatar, Mongolia pada Ahad.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan, B Sathianathan berkata, anak-anak buah Brad Maloney tidak harus gentar apabila berdepan dengan Thailand nanti biarpun lawan mereka itu tampil sebagai pasukan pilihan.

“Pada pandangan saya, kita ada kelebihan untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia tahun depan. Ikut perkiraan atas kertas, kita hanya perlu seri manakala Thailand perlu menang pada perlawanan Ahad ini untuk layak ke pusingan akhir.“Jadi pasukan negara perlu kekal fokus selain memperkemaskan lagi corak permainan mereka. Ini kerana mereka tidak bermain dengan begitu baik ketika berdepan Laos, tetapi masih mampu menang.

“Ketika menentang Mongolia pula, awalnya sukar untuk kita menembusi pertahanan mereka. Namun, pada separuh masa kedua, pemain dilihat mula selesa mengawal tempo permainan dengan hantaran-hantaran pendek.

“Jadi inilah yang perlu kita lakukan berdepan Thailand nanti. Buat apa takut dengan Thailand, main seperti biasa mengikut taktikal yang diatur coach Maloney,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Malaysia kini menerajui Kumpulan J apabila mengutip enam mata hasil kemenangan 1-0 ke atas Laos dan Mongolia. Thailand pula di tangga kedua dengan meraih empat mata diikuti Mongolia (satu) dan Laos tanpa sebarang mata.

Kedudukan itu menyaksikan Malaysia kini berpeluang cerah layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2022 selaku juara Kumpulan J sekiranya menewaskan Thailand.

Mengulas lanjut, Sathianathan berkata, berdasarkan kepada kapasiti pemain sedia ada, Malaysia seharusnya tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan ke atas Thailand.

Artikel Berkaitan:

“Ramai pemain datang daripada latar belakang yang baik yang mana rata-rata mereka adalah produk daripada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) selain ada yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M).

“Berdasarkan kepada corak permainan yang ditunjukkan pemain negara ketika menentang Mongolia semalam (Khamis), saya yakin kita boleh menang dan layak ke pusingan akhir nanti selaku juara kumpulan,” ujarnya.