Tambahan peruntukan RM4.5 bilion Dana BNM untuk PKS

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) membuat penambahbaikan terhadap Dana BNM dengan menambah peruntukan sebanyak RM4.5 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

BNM dalam kenyataan memaklumkan, peruntukan tersebut bertujuan bagi menyokong perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“RM2 bilion akan ditambah kepada Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF). Penambahan ini meningkatkan jumlah peruntukan kepada RM8 bilion.

“Kemudahan agromakanan (AF) juga akan ditambah sebanyak RM500 juta. Penambahan ini akan meningkatkan jumlah peruntukan kepada RM2 bilion,” kata kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu, dua kemudahan pembiayaan baharu akan diwujudkan dan tersedia mulai Januari 2022.

“Kemudahan Permodalan Semula Perniagaan (BRF) sebanyak RM1 bilion akan diwujudkan untuk memperkukuh struktur modal perniagaan.

“Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF) sebanyak RM1 bilion akan diwujudkan berdasarkan pembiayaan yang setara oleh institusi kewangan peserta bagi membantu PKS menerapkan amalan lestari dan rendah karbon dalam operasi perniagaan mereka

“Semua penambahbaikan ini merupakan peningkatan sebanyak RM4.5 bilion dalam peruntukan bagi Dana BNM untuk PKS,” kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta akan disediakan untuk usahawan mikro daripada kumpulan berpendapatan rendah melalui iTEKAD.

Kata kenyataan itu, iTEKAD ialah program pembiayaan sosial campuran oleh bank-bank Islam yang menawarkan modal benih (seed capital), pembiayaan mikro dan latihan berstruktur kepada usahawan mikro dengan kerjasama rakan-rakan pelaksana.

“Bagi mengembangkan lagi inisiatif tersebut untuk menggalakkan penyertaan yang lebih banyak daripada institusi kewangan, kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi meningkatkan modal benih program tersebut,” jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, program Baucar Perlindungan Tenang (PTV) akan diteruskan pada tahun depan dengan penambahan nilai baucar daripada RM50 kepada RM75.

“Di bawah program ini, penerima B40 yang layak akan diberikan baucar yang boleh dibelanjakan untuk membeli produk PTV daripada penanggung insurans dan pengendali takaful.

“Untuk maklumat lanjut, sila layari mycoverage.my/perlindungan_tenang dan www.myptv.my bagi menyemak kelayakan mendapatkan baucar.

“Kerajaan juga akan melanjutkan pengecualian duti setem untuk produk insurans dan takaful dengan premium/sumbangan tahunan kurang daripada RM150 bagi individu dan RM250 bagi PKS mikro,” kata kenyataan itu.