ABIM gesa Eric tarik balik komen mengenai ‘lighad’, mohon maaf terbuka

SHAH ALAM – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa pempengaruh media sosial, Datuk Eric See-To menarik balik komen yang mengaitkan perkataan 'lighad' dengan 'liwat' sebagai sindiran politik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta memohon maaf secara terbuka.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, keghairahan menyerang lawan politik tidak boleh menjadi alasan untuk mempermainkan ungkapan daripada ayat suci al-Quran.
Katanya, dalam pembentangan Belanjawan 2027, Perdana Menteri membacakan ayat 18 Surah al-Hashr dan menghuraikan ungkapan ‘lighad’, yakni ‘untuk hari esok’ dan konteks itulah yang menjadi asas teguran ABIM terhadap sindiran berkonotasi seksual tersebut.
“Jika tidak memahami al-Quran, bertanyalah dan pelajarilah. Jangan jadikan kitab suci umat Islam sebagai bahan ejekan politik.
“Apabila kesilapan telah ditunjukkan, adab menuntut keberanian untuk mengakuinya dan membetulkannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Pada Sabtu, Eric menafikan komennya berkaitan perkataan 'lighad' dalam satu hantaran media sosial yang mencetuskan kontroversi bertujuan menghina al-Quran.
Beliau sebaliknya menjelaskan, petikan al-Quran tersebut ditambah oleh 'ceplos' atau cybertrooper di media sosial untuk memberi gambaran dirinya membuat hantaran mengenai kitab suci umat Islam itu.
Eric sebelum ini menyorot perkataan 'lighad' yang digunakan Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Susulan itu, pelbagai pihak termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan pemimpin Melayu DAP tampil mengecam pemerhati politik tersebut.
Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi menegaskan, ABIM juga mengambil maklum penjelasan Eric bahawa beliau mengulas laporan media dan tidak berniat menghina al-Quran, serta dakwaannya bahawa petikan ayat pada tangkap layar yang tular ditambah oleh pihak lain.
Bagaimanapun, beliau berkata, teguran ABIM tertumpu pada komen beliau sendiri kerana setelah sumber dan konteks ungkapan itu dijelaskan, alasan tidak memahaminya tidak menghapuskan tanggungjawab untuk membetulkan kesilapan.
“Sebelum ini, kenyataan Eric mengenai istito’ah dalam ibadah haji turut menimbulkan persoalan tentang penghormatan terhadap prinsip agama.
“Dasar kerajaan dan pengurusan haji boleh dikritik, tetapi prinsip istito’ah tidak wajar dijadikan bahan sindiran politik,” ujarnya.
Kata beliau, hak mengkritik pemimpin mesti disertai tanggungjawab menjaga kehormatan agama dan pendirian itu terpakai kepada semua pihak tanpa mengira kedudukan atau kecenderungan politik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

