X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 24 Januari 2022

RM10 juta perkasa atlet para

Aksi Abdul Latif ketika meraih pingat emas pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
A
A

KEJAYAAN cemerlang kontinjen Malaysia meraih tiga pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 mendorong kerajaan memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk meraih keputusan lebih baik pada edisi 2024 di Paris.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kejayaan atlet terutamanya yang menyumbang pingat emas di bumi Tokyo cukup membanggakan negara.

“Lagu Negaraku yang berkumandang di bumi Tokyo menandakan kejayaan atlet kita merangkul pingat emas di Kejohanan Paralimpik Tokyo. Tahniah diucapkan khususnya kepada Bonnie Bunyau Gustin, Cheah Liek Hou dan Abdul Latif Romly serta seluruh kontinjen negara atas pencapaian membanggakan ini.

“Menjelang Paralimpik Paris 2024, kejayaan yang lebih besar pastinya menjadi sasaran. Bagi memperkasa Sukan OKU, RM10 juta diperuntukkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) khusus untuk meningkatkan program latihan atlet orang kelainan upaya (OKU) dan melaksanakan Liga Sukan OKU,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Bonnie muncul penyumbang emas pertama Malaysia dalam acara powerlifting bagi kategori 72 kilogram (kg). Liek Hou pula meraih emas acara badminton manakala Abdul Latif (lompat jauh).

Selain membawa pulang tiga emas, kontinjen Malaysia turut meraih dua perak pada temasya Paralimpik kali ini menerusi Chew Wei Lun dalam acara boccia dan Jong Yee Khie (powerlifting bagi kategori 107kg).

Ia dianggap cukup membanggakan bagi memperbaiki pencapaian pada Sukan Paralimpik 2016 Rio yang menyaksikan kontinjen Malaysia meraih tiga pingat emas dan satu gangsa.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut mengumumkan peruntukan RM159 juta bagi membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan di seluruh negara.

“Peruntukan ini antaranya untuk memulakan pembinaan sebuah stadium di Bukit Merbau, Pasir Putih, Kelantan merangkumi pelbagai fasiliti sukan seperti gelanggang hoki, lapang sasar menembak dan pusat akuatik,” ujarnya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi memastikan rakyat kembali aktif selaras pemulihan pasca Covid-19.

“Kerajaan akan memperuntukkan RM 50 juta bagi melaksanakan program seperti pembudayaan gaya hidup aktif, Fit Forever dan Penganjuran Hari Sukan Negara,” jelasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!