'Bersatu bukan pemecah undi, mahu selamatkan Melaka'

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan tindakan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mendakwa partinya itu pencetus masalah di Melaka sehingga terpaksa diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau memberitahu, Bersatu bukan bukan pemecah undi, sebaliknya mahu menyelamatkan negeri berkenaan dengan menawarkan politik kesatuan yang bersih, telus, berintegriti dan stabil.

“Kenapa individu-individu kluster mahkamah seperti (Ahmad Maslan) tak habis-habis melontar tohmahan kepada Bersatu? Apa demam (Ahmad Maslan) ini? Kenapa tak bercakap mengenai UMNO sebagai perosak kerajaan? Atau UMNO sebagai penolak perpaduan Melayu?

“Yang merayu sokongan DAP ialah UMNO, yang paksa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ialah UMNO, yang bergaduh mengenai kontrak pasir ialah UMNO, yang jatuhkan Ketua Menteri UMNO ialah UMNO. Ini paling pelik.

“Agenda kami ialah kerajaan prihatin yang berintegriti. Takkanlah dengan agenda ini pun tak boleh setuju untuk duduk sekali? Lebih baik (Ahmad Maslan) tumpukan kepada masalah perpecahan UMNO dan jangan menyibuk mengenai Bersatu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook milik beliau pada Khamis.

Wan Saiful berkata demikian menjawab tohmahan Ahmad Maslan pada 24 Oktober lalu yang mendakwa Bersatu merupakan pemecah undi kerana penubuhan parti itu merupakan serpihan UMNO.

Membalas dakwaan itu, beliau berkata, Bersatu sebaliknya mahu menyelamatkan negeri Melaka daripada mereka yang mahu membawa gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (PH) terutama DAP menjadi kerajaan.

“Bersatu mahu menyelamatkan Melaka daripada ketidakstabilan politik, ketamakan peribadi supaya kekayaan negeri boleh dikongsi bersama dengan semua rakyat, bahkan menyelamatkan Melaka daripada pemimpin parti yang tikam kawan sendiri,” katanya.

Artikel Berkaitan: