Surat kenaikan pangkat Mohd Diya dihantar ke KPKT

JBPM akan hantar surat permohonan bagi kenaikan pangkat Pegawai Bomba Kanan (PBK) ll Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh kepada KPKT.
JBPM akan hantar surat permohonan bagi kenaikan pangkat Pegawai Bomba Kanan (PBK) ll Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh kepada KPKT.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menghantar surat permohonan bagi kenaikan pangkat Pegawai Bomba Kanan (PBK) ll Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, kenaikan pangkat itu perlu bagi meringankan beban keluarga memandangkan Allahyarham mempunyai empat orang anak.

Menurutnya, ia juga bagi mengiktiraf jasa dan pengorbanan Allahyarham yang lemas dibawa arus deras di Kampung Sungai Putat, Melaka pada 20 Oktober lalu.

"Surat permohonan bagi kenaikan pangkat telah dihantar kepada kementerian. JBPM berharap kerajaan dapat pertimbangkan dan meluluskan kenaikan pangkat ini.

"JBPM juga akan salurkan bantuan yang sewajarnya kepada keluarga dan empat orang anak Allahyarham," katanya pada sidang akhbar Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Mohammad Hamdan (tengah) memakaikan pingat kebesaran jabatan kepada anggota bomba di Johor Bahru.
Mohammad Hamdan (tengah) memakaikan pingat kebesaran jabatan kepada anggota bomba di Johor Bahru.

Hadir sama, Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahya Madis.

Mohammad Hamdan berkata, nama Allahyarham telah diabadikan di Tugu Peringatan Fallen Heroes, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Mohd Diya Che Jusoh sebelum ini dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat insiden ketika melakukan kerja-kerja penyelamatan di Sungai Putat, Batu Berendam di sini pada 20 Oktober lalu.

Pegawai Bomba PBK II (KUP) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah itu meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Melaka.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, Allahyarham berusia 46 tahun bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah sebelum ini telah dinaikkan pangkat KUP 22 pada Januari 2019.