Petronas sumbang komputer riba

Sazli (kiri) menyampaikan sumbangan komputer riba dan barangan keperluan kepada Veerapan untuk kegunaan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan pada 22 Oktober lalu.
Sazli (kiri) menyampaikan sumbangan komputer riba dan barangan keperluan kepada Veerapan untuk kegunaan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan pada 22 Oktober lalu.
A
A
A

SEREMBAN - Bagi membantu melancarkan urusan petugas barisan hadapan dalam menangani pandemik Covid-19, Petronas telah menyampaikan sumbangan sebanyak 26 unit komputer riba di Negeri Sembilan dan Melaka.

Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan, Sazli Zakaria berkata, sumbangan ini merupakan salah satu inisiatif pihaknya dalam menyokong usaha kerajaan, selain membantu petugas barisan hadapan bagi mempercepatkan negara memasuki fasa endemik.

Katanya, sebanyak 51 unit komputer riba dan barangan keperluan bernilai lebih RM140,000 telah diagihkan di negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

"Sumbangan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Petronas untuk menjaga kesejahteraan masyarakat setempat dalam mendepani wabak Covid-19.

"Sumbangan yang diserahkan ini merupakan tanda penghargaan kepada petugas serta sukarelawan selain diharap dapat menyuntik semangat dan motivasi mereka yang telah bertungkus-lumus menjayakan pelbagai program," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Tambahnya, sebanyak 20 komputer riba, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka bernilai RM51,000 telah diserahkan kepada Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr Rusdi Abdul Rahman pada 21 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Sazli (kiri) menyampaikan sumbangan komputer riba dan barangan keperluan kepada Dr Rusdi untuk kegunaan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan Jabatan Kesihatan Melaka pada 21 Oktober lalu.
Sazli (kiri) menyampaikan sumbangan komputer riba dan barangan keperluan kepada Dr Rusdi untuk kegunaan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan Jabatan Kesihatan Melaka pada 21 Oktober lalu.

Katanya, sumbangan itu adalah untuk kegunaan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan Jabatan Kesihatan Melaka.

Selain itu, dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka, sumbangan cecair pembasmi kuman dan pelitup muka bernilai RM5,000 telah diserahkan kepada Dr Kamarul Ariffin Arif, Komander Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) untuk kegunaan pusat kuarantin tersebut.

Bagi Negeri Sembilan pula, sumbangan berupa enam komputer riba bernilai RM15,000 telah diserahkan kepada Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah, S Veerapan pada 22 Oktober untuk kegunaan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan.

"Sebelum itu kita telah menyampaikan sumbangan yang sama, iaitu 26 komputer riba berserta sumbangan cecair pembasmi kuman dan pelitup muka kepada negeri Johor.

"Petronas akan terus komited dalam menyalurkan bantuan dan menyokong usaha kerajaan negeri di selatan tanah air dalam menangani Covid-19, seterusnya menjayakan hasrat negara untuk mencapai imuniti kelompok serta memasuki fasa endemik,"katanya.