Agenda pendigitalan diberi tumpuan dalam Bajet 2022: PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditemubual berkaitan Bajet 2022, hari ini.- Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditemubual berkaitan Bajet 2022, hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Agenda pendigitalan termasuk pelaksanaan 5G yang akan diterajui oleh Digital Nasional Berhad (DNB) diberi tumpuan dalam Bajet 2022 yang bakal dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada persidangan Dewan Rakyat Jumaat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi Bajet 2022 yang dirangka dengan penekanan daripada rakyat untuk rakyat itu, usaha memperkasa pendigitalan sangat penting berdasarkan kepada pengalaman sepanjang pandemik Covid-19 yang menyaksikan ramai rakyat beralih kepada perkhidmatan secara dalam talian terutama golongan peniaga.

Beliau berkata, usaha tersebut akan dijayakan menerusi program Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang sehingga akhir bulan lepas berjaya memastikan 6.4 juta premis di negara ini diliputi rangkaian gentian optik dengan akses gigabit.

Ismail Sabri berkata, ia sekali gus menandakan pelan berkenaan berada dalam landasan untuk mencapai sasarannya sebanyak 7.5 juta premis menjelang akhir 2022.