PRN Melaka: Rundingan Pas, UMNO ke arah positif

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas memberi bayangan keputusan rundingan bersama UMNO untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November depan ke arah positif.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbincangan mengenai perkara itu masih berjalan dan bakal mencapai kata putus tidak lama lagi.

"Perbincangan (bersama UMNO) sudah ada dan rundingan masih lagi dijalankan. Insya-ALLAH kita akan mencapai sesuatu yang positif.

"Hasil perbincangan akan diumumkan sebelum penamaan calon. Ianya fair and square for everybody (adil untuk semua pihak)," katanya kepada pemberita selepas penyerahan cek bayaran keuntungan oleh TDM Berhad kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan di Wisma Darul Iman pada Rabu.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut menafikan dakwaan bahawa UMNO dikatakan telah memuktamadkan keputusan tidak bergandingan dengan mana-mana parti dalam PRN Melaka.

"Adakah benar UMNO telah membuat keputusan? Setahu saya mereka belum buat keputusan muktamad. Sekejap buka pintu, sekejap tutup pintu.

"Pintu perbincangan masih lagi dibuka, melihat kepada kenyataan-kenyataan terakhir daripada pucuk pimpinan, saya yakin kita ke arah itu, Insya-ALLAH," ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk PRN Melaka Pas tidak mengulas lanjut apabila ditanya mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi Pas dalam pilihan raya itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau sebaliknya memberitahu proses agihan kerusi akan dilakukan secara adil bagi mengelak pertembungan tiga penjuru.

Sebelum ini, Ahmad Samsuri menyatakan keyakinan bahawa gagasan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) menuju penyatuan sebelum hari penamaan calon dalam PRN Melaka.