Bank akan terus sediakan pakej bantuan selepas Pemulih tamat

Mohd Shahar Abdullah
Mohd Shahar Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bank-bank akan terus menyediakan pakej bantuan bagi peminjam yang terkesan dan memerlukan bantuan bayaran balik pinjaman selepas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) tamat.

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata, ia termasuk pengurangan bayaran ansuran bulanan mengikut kemampuan peminjam.

Beliau berkata, peminjam juga boleh memohon pelbagai program yang ditawarkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) seperti Program Pengurusan Hutang, Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil dan Skim Sokongan Daya Tahan Kewangan.

“Program-program ini dilaksanakan dengan kerjasama dan sokongan institusi perbankan dan mempunyai ciri-ciri seperti ansuran bulanan yang berkurangan, pelanjutan tempoh bayaran balik dan program sokongan daya tahan kewangan,” katanya dalam sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) yang bertanyakan adakah kerajaan akan melanjutkan pemberian moratorium kepada individu dan perusahaan serta memperkenalkan pemberian moratorium tanpa faedah terakru.

Mohd Shahar menambah, bank-bank turut bersedia untuk memberi bantuan bayaran balik pinjaman kepada mereka yang terjejas.

“Permohonan moratorium di bawah Pemulih masih dibuka kepada peminjam yang memerlukan dan mereka hanya perlu menghubungi bank masing-masing.

“Sekiranya peminjam menghadapi kesukaran semasa berurusan dengan pihak bank atau permohonan bantuan bayaran balik pinjaman ditolak, mereka boleh menghubungi Bank Negara Malaysia (BNM) secara terus melalui BNM TELELINK di talian 1-300-88-5465,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Shahar berkata, pada 14 Oktober lalu, industri perbankan turut mengumumkan Skim Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (Urus) bagi golongan 50 peratus terbawah kumpulan pendapatan (B50) iaitu isi rumah berpendapatan sehingga RM5,880 yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Skim yang menyeluruh ini bukan sahaja membantu peminjam membuat pembayaran balik pinjaman mengikut kemampuan mereka, malah peminjam juga mendapat manfaat menerusi nasihat pengurusan kewangan yang boleh meningkatkan daya tahan kewangan mereka dalam jangka masa panjang.

“Di bawah program ini, peminjam golongan B50 yang memenuhi syarat akan mendapat pengecualian faedah selama tiga bulan dan juga pilihan untuk mengurangkan bayaran ansuran pinjaman sehingga 24 bulan keseluruhannya,” jelasnya.