Daerah Petaling rekod penduduk teramai 2020

Daerah Petaling di Selangor rekod 2.16 juta penduduk pada 2020, diikuti Kuala Lumpur dengan 1.77 juta orang dan Johor Bahru (1.56 juta). - Foto Bernama
Daerah Petaling di Selangor rekod 2.16 juta penduduk pada 2020, diikuti Kuala Lumpur dengan 1.77 juta orang dan Johor Bahru (1.56 juta). - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - My Local Stats 2020 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati daerah Petaling di Selangor merekodkan jumlah penduduk tertinggi pada 2020 iaitu seramai 2.16 juta orang.

Ini diikuti Kuala Lumpur dengan 1.77 juta orang dan Johor Bahru (1.56 juta), menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Perangkawan Malaysia di sini hari ini.

Selain itu, dapatan itu juga menunjukkan penduduk Malaysia yang berumur 65 tahun dan ke atas meningkat kepada tujuh peratus pada tahun lepas dan Perak merekodkan peratus penduduk tua tertinggi iaitu 11 peratus.

Tiga daerah di Perak yang merekodkan peratus penduduk tua tertinggi ialah Kampar dengan 12.9 peratus, Kinta (12.3 peratus) serta Larut, Matang dan Selama (11.1 peratus).

“Hasil dapatan ini menunjukkan negara berhadapan dengan cabaran menangani peningkatan peratusan penduduk tua menjelang 2030,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, penemuan dalam bidang pendidikan menunjukkan daerah Johor Bahru mencatatkan jumlah guru paling ramai bagi sekolah rendah iaitu 10,052 orang manakala Kuala Lumpur merekodkan guru teramai bagi sekolah menengah iaitu 8,202 orang.

Bilangan murid sekolah rendah paling ramai adalah di daerah Petaling iaitu 153,313 orang dan Johor Bahru mempunyai bilangan murid sekolah menengah paling tinggi iaitu 100,458 orang.

Penerbitan My Local Stats 2020 merupakan siri keempat sejak 2017 dan dikeluarkan bagi kesemua 156 daerah pentadbiran di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Penerbitan itu menyediakan statistik yang diperlukan bagi perancangan pembangunan yang mampan dengan mengintegrasi statistik ekonomi dan sosial di peringkat daerah pentadbiran bagi jangka masa 2018 hingga 2020.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, ketersediaan statistik di peringkat tempatan yang lebih terperinci, memberi manfaat kepada kerajaan negeri dan daerah dalam menambah baik dasar, tadbir urus dan keperluan sosioekonomi rakyat. - Bernama