Zoo Kemaman sasar 200,000 pengunjung tahun ini

Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman kembali meriah dengan purata hampir 2,000 orang mengunjungi lokasi itu setiap hari.
Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman kembali meriah dengan purata hampir 2,000 orang mengunjungi lokasi itu setiap hari.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) sebagai agensi pengendali Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman (TRZK) menyasarkan kehadiran seramai 200,000 pengunjung menjelang hujung tahun ini.

Yang Dipertua MPK, Juzman Ibrahim berkata, setakat ini TRZK kembali meriah dengan kehadiran pengunjung secara purata hampir 2,000 orang mengunjungi lokasi itu pada setiap hari sejak lebih dua minggu lalu.

Menurutnya, peningkatan itu didorong oleh kebenaran semula rentas negeri oleh kerajaan pada 11 Oktober lalu dan jumlahnya semakin bertambah pada hujung minggu serta cuti am dengan anggaran seramai 2,500 sehari.

"Sempena cuti perayaan Deepavali pada Khamis nanti, kita jangkakan kedatangan pengunjung juga bertambah dan ini merupakan perkembangan positif selepas orang ramai dibenarkan melancong ke luar negeri," katanya pada Selasa.

Kata Juzman, TRZK yang mula dibuka sejak Ogos 2009 kini mempunyai 589 haiwan terdiri daripada 433 spesies burung, 84 spesies mamalia dan 72 spesies reptilia, amfibia serta ikan.

Beliau berkata, TRZK dijangka memiliki lebih banyak koleksi haiwan baharu yang menarik pada masa akan datang berikutan pelaksanaan program pertukaran dengan Zoo Melaka tidak lama lagi.

"Antara spesies haiwan yang ada di Zoo Kemaman sekarang adalah harimau, buaya, orang hutan, burung cenderawasih dan kami turut menyediakan perkhidmatan menyelusuri Sungai Yak-Yah berhampiran.

"Kami juga menawarkan kadar caj kemasukan istimewa iaitu RM5 untuk dewasa dan RM3 kepada kanak-kanak sehingga hujung tahun ini," katanya.

Artikel Berkaitan: