MBPJ rancang pelan strategik sejahterakan rakyat

Mohamad Azhan ketika Majlis Perakuan Penerimaan Jawatan Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Mesyuarat Majlis Bil 9/2021 di Ibu Pejabat MBPJ di sini pada Selasa.
Mohamad Azhan ketika Majlis Perakuan Penerimaan Jawatan Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Mesyuarat Majlis Bil 9/2021 di Ibu Pejabat MBPJ di sini pada Selasa.
A
A
A

PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengatur pelbagai perancangan bermula tahun ini sehingga 2025 yang meliputi pelbagai aspek demi kesejahteraan rakyat di sini.

Datuk Bandarnya, Mohamad Azhan Md Amir berkata, MBPJ sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) memainkan peranan penting untuk membantu masyarakat dengan menggunakan wang kutipan daripada rakyat di kawasan seliaannya untuk mensejahterakan penduduk.

Beliau yang ditemui selepas Majlis Perakuan Penerimaan Jawatan Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Mesyuarat Majlis Bil 9/2021 di Ibu Pejabat MBPJ di sini berkata, pihaknya bersama Ahli-ahli Majlis dan komuniti untuk bergerak sejahtera rakyat terutamanya selepas fasa pandemik Covid-19 khusus bagi membangunkan ekonomi di sini.

"Saya sudah bercakap dengan ahli Majlis bahawa fokus utama kami adalah mensejahterakan rakyat melalui pelaksanaan pelbagai projek menerusi pelan strategik yang bermula tahun ini sehingga 2025.

"Jadi kami akan ikut pelan tersebut, tapi pada masa sama program-program berkenaan akan ditambahbaik supaya bertepatan dengan hala tuju kami," katanya di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohamad Azhan berkata, pihaknya turut mengambil kira pandangan dan aduan daripada rakyat untuk menambahbaik pelan strategik sedia ada.

Ujarnya, perkara tersebut penting bagi memastikan kebajikan rakyat dapat dijaga dengan baik khususnya bagi golongan yang memerlukan.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Azhan (tengah, barisan hadapan) bersama ahli Majlis MBPJ di Ibu Pejabat MBPJ di sini pada Selasa.
Mohamad Azhan (tengah, barisan hadapan) bersama ahli Majlis MBPJ di Ibu Pejabat MBPJ di sini pada Selasa.

"Dalam pelan strategik tersebut mengandungi pelbagai program seperti bantuan kepada golongan yang memerlukan, projek hijau dan lain-lain, cuma pada pandangan saya, kita perlu mendengar pandangan masyarakat dan barulah kita bincangkan semula untuk membuat keputusan.

"Yang penting kita cuba sedaya upaya, tapi jika ia tidak boleh dilaksanakan, kita perlu jelaskan kepada mereka," katanya.

Pada Selasa, MBPJ meraikan pelantikan Mohamad Azhan sebagai Datuk Bandar Petaling Jaya Ke-6, menggantikan mantan Datuk Bandar, Datuk Mohd Sayuthi Bakar yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi) pada Mei 2021 lalu.

Mohamad Azhan yang mula bertugas pada 21 Oktober merupakan alumni Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dengan kelulusan Sarjana Sains Pembangunan Sumber Manusia pada tahun 2007 dan di Universiti Malaya pada tahun 1994.

Beliau juga mempunyai pengalaman berkhidmat selama 24 tahun di pelbagai peringkat pentadbiran negeri dan kementerian selain turut mempunyai Diploma dalam Pentadbiran dan Pengurusan Awam dari Institut Tadbiran Awam (Intan) pada tahun 1997.

Selain itu, beliau juga pernah bertugas sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Bencana), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA); Jabatan Perdana Menteri pada April tahun 2020, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2018.

Mohamad Azhan juga pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2018 hingga 2020; Pengarah Cawangan Gunasama di Bahagian Perkhidmatan dalam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada tahun 2016 hingga 2017 dan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan dalam Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2015 hingga 2016.