Negara kucar-kacir angkara rasuah
SHAH ALAM - Perkembangan arus modenisasi yang mengabaikan kerohanian merupakan punca yang menyebabkan gejala rasuah semakin berleluasa di negara ini.
Pengarah Urusan Arisprop Holdings Sdn Bhd (APHSB), Datuk Haris Embong berkata, ia kerana kemajuan dan ledakan sosioekonomi menjadi tidak seimbang dengan pembangunan kerohanian seterusnya memudahkan terjadinya gejala rasuah dalam kalangan masyarakat.
Beliau memberi contoh pembangunan moden memperlihatkan para kontraktor berlumba-lumba mendapatkan tender dan berusaha untuk memenangi hati pegawai-pegawai pengurusan atau pembuat keputusan.
“Rasuah diberikan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan tender, mempercepatkan bayaran, melepaskan hukuman atau tindakan jika gagal atau lambat menyiapkan projek dan sebagainya,” jelas beliau kepada kru Rasuah Busters baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Haris menegaskan, gejala rasuah meninggalkan implikasi buruk kepada pihak-pihak tertentu.
Jelas beliau, tiada sesiapa akan dapat mengagak tindakan seseorang atau hasil daripada sesuatu rancangan untuk masa depan selagi wujudnya kegiatan rasuah itu.
“Kesan yang paling besar daripada gejala rasuah ini ialah akan menyebabkan pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir.
“Akibatnya, ia menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya,” tambahnya.
Dalam pada itu, kata Haris, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu lebih agresif dalam memerangi budaya rasuah sehingga ke akar umbi.
Menurut beliau, kerajaan juga perlu menyokong usaha berkenaan dengan cara menyediakan peruntukan akta, undang-undang serta penguatkuasaan ketat bagi membanteras perbuatan jenayah itu.
“Kerjasama erat diperlukan daripada semua pihak untuk menanganinya dan SPRM perlu diperkukuh bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan dalam usaha pencegahan rasuah serta memperbaiki persepsi kebebasan dan ketelusan dalam pelaksanaan fungsi-fungsinya.
“SPRM akan turut disokong oleh mekanisme memeriksa dan mengimbangi dalam memastikan suruhanjaya itu bertindak selaras dengan kehendak perundangan dan aspirasi masyarakat,” tegas Haris.
Para kontraktor berlumba-lumba mendapatkan tender dan mereka juga akan berusaha untuk memenangi hati pegawai pengurusan atau pembuat keputusan.”
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!