Ingatkan diri rasuah musuh nombor satu negara

Hari Klang Tanpa Kenderaan yang dilancarkan Noraini disertai lebih 1,000 warga Klang pada Ahad. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Hari Klang Tanpa Kenderaan yang dilancarkan Noraini disertai lebih 1,000 warga Klang pada Ahad. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KLANG - Masyarakat diingatkan untuk menjiwai semangat bencikan rasuah dan memahat pada diri bahawa rasuah merupakan musuh nombor satu negara.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Noraini Roslan berkata, rasuah tidak pernah menjanjikan kesenangan sebenar walaupun beroleh keuntungan yang sangat besar daripadanya.

"Ketahuilah, hasil diperoleh melalui rasuah adalah haram dan tidak berkat, justeru marilah kita bersama-sama menghayati dan memerangi ancaman rasuah sebagai musuh nombor satu negara dan mengamalkan slogan 'Hidup Tanpa Rasuah'," katanya ketika melancarkan Hari Klang Tanpa Kenderaan bertemakan Malaysia Tanpa Rasuah di Laman Seni Safari di sini pada Ahad.

Noraini (dua dari kanan) melawat reruai Rasuah Busters sempena Hari Klang Tanpa Kenderaan Laman Seni Safari pada Ahad. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Noraini (dua dari kanan) melawat reruai Rasuah Busters sempena Hari Klang Tanpa Kenderaan Laman Seni Safari pada Ahad. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia #RasuahBusters, Nurhayati Nordin; Timbalan Yang Dipertua MPK, Marini Darmin; Pengurus Besar Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Datuk Munasor Aliyasak; Penguasa Kanan Bomba II Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Balai Bomba & Penyelamat Pelabuhan Klang, Mohd Yunus Ibrahim dan Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib.

Majlis berlangsung meriah dengan kehadiran ratusan masyarakat setempat dengan menyertai pelbagai aktiviti yang dijalankan antaranya berjalan kaki sejauh lima kilometer, kayuhan santai, senamrobik dan menyaksikan demonstrasi bomba.

Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Balai Bomba & Penyelamat Pelabuhan Klang mengadakan demonstrasi menyelamat mangsa kemalangan, - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Balai Bomba & Penyelamat Pelabuhan Klang mengadakan demonstrasi menyelamat mangsa kemalangan, - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Hari Klang Tanpa Kenderaan bertemakan Malaysia Tanpa Rasuah melibatkan rakan kerjasama strategik iaitu Rasuah Busters, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Program itu turut dijayakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang, Galeri Diraja, Ibu Pejabat Polis Klang Selatan dan Balai Polis Trafik Klang Selatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Selangor dan Yayasan Selangor.

Warga Klang turut merasai pengalaman menjadi wakil rakyat menerusi permainan Build My-Town yang dibawakan Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4).

Mengulas lanjut Noraini berkata, rasuah adalah satu jenayah global yang telah lama wujud yang memberi impak negatif kepada sesebuah negara.

Katanya, pembangunan negara terjejas, ekonomi lumpuh, kemiskinan dan ketidakadilan menjadi isu sosial, tidak telus dalam pentadbiran dan peningkatan aktiviti jenayah seperti penyeludupan adalah antara kesan akibat jenayah rasuah.

"Dalam usaha membentuk masyarakat bebas rasuah, usaha mencegah perbuatan korupsi tidak boleh diletakkan di bahu pihak berkuasa sahaja sebaliknya tanggungjawab semua pihak.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita juga menjadi mata dan telinga dalam membantu membasmi serta menghapuskan rasuah," katanya.

Pegawai tertinggi MPK merasai pengalaman menjadi wakil rakyat menerusi permainan Build My-Town yang dibawakan C4. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Pegawai tertinggi MPK merasai pengalaman menjadi wakil rakyat menerusi permainan Build My-Town yang dibawakan C4. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Tegasnya lagi, tugas membanteras dan mencegah rasuah sememangnya bukan satu tugas yang mudah dan sangat mencabar, tetapi dengan adanya kerjasama dan penglibatan orang ramai, ia boleh membantu dalam membanteras dan mencegah rasuah dengan lebih berkesan.

"Jadi, pada tuan puan yang hadir pada program ini, ingatkan pada diri sendiri yang rasuah tidak pernah menjanjikan kesenangan sebenar walaupun beroleh, keuntungan sangat besar daripadanya," katanya.

REAKSI

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Persekitaran MPK, Zaireezal Ahmad Zainuddin.

Zaireezal - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Zaireezal - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

"Permainan Build My-Town ini memerlukan kecerdasan dalam membuat keputusan, kerana dalam permainan kad ini kita perlu menjadi seorang yang berhormat (YB), iaitu kena fikirkan 'kad duit' yang diperoleh itu untuk tujuan pembangunan untuk rakyat atau sebaliknya."

Ketua Unit Integriti MPK, Samiha Samion.

Samiha - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Samiha - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

"Build My-Town merupakan permainan kad yang sesuai dimainkan oleh semua lapisan masyarakat daripada kanak-kanak sehinggalah mereka yang dewasa, ia membentuk sahsiah seorang yang berhormat itu dalam membuat keputusan untuk rakyat.

"YB itu perlu mempunyai kecerdasan untuk membuat keputusan untuk kepentingan rakyat, jadi ia turut menguji tahap integriti kita ketika memainkan permainan kad ini."