X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Bajet 2022: UMNOSiswa cadang 11 perkara dalam memorandum

Mubarak (dua dari kiri) dan Shahril Suffian (tiga dari kiri) menunjukkan memorandum cadangan mahasiswa berkenaan Belanjawan 2022 Sumber gambar daripada Facebook Mubarak Kunyi
A
A

SHAH ALAM - Kelab Mahasiswa UMNO Malaysia (UMNOSiswa) mencadangkan 11 perkara dalam memorandum cadangan mahasiswa berkenaan Bajet 2022 bagi membantu rakan-rakan mahasiswa khususnya berkenaan dengan peluang pekerjaan dan keperluan pembelajaran.

Presiden UMNOSiswa, Mubarak Kunyi berkata, memorandum hasil perbincangan antara kepimpinan dan ahli UMNOSiswa itu telah diserahkan kepada Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Shahril Suffian Hamdan.

Menurutnya, antara saranan dalam memorandum tersebut adalah memperkenalkan semula inisiatif kad debit siswa sebanyak RM250 dan bantuan inisiatif data internet serta peranti seperti komputer riba atau tablet kepada mahasiswa yang terjejas khususnya dalam kalangan B40.

"Pemberian inisiatif data internet dan peranti ini juga perlu lebih diperkasa terutamanya melibatkan ambilan baharu pada Oktober 2021 ini.

“Selain itu, memberi satu peruntukan khas bantuan baucar siswa bagi perbelanjaan keperluan harian dan makanan mahasiswa.

“Mencadangkan agar moratorium Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilanjutkan selama enam bulan lagi kepada peminjam PTPTN terutamanya graduan pada 2020 dan 2021,” katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mubarak berkata, cadangan lain adalah mempertimbangkan untuk mewujudkan kembali Biasiswa MyBrain15, inisiatif Job Bank, menambah peruntukan bagi program Protégé serta MyStep.

Selain itu, menurutnya, kerajaan juga dicadangkan agar menetapkan syarat mandatori bagi pembayaran elaun latihan industri, implementasikan Skim Rumah Ikram dan meneruskan inisiatif FLY2Campus bagi mengurangkan beban keluarga mahasiswa untuk menampung kos pulang ke kampus.

“Di samping itu, mencadangkan agar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) boleh memperkenalkan inisiatif skim kemiskinan haid dengan pemberian tuala wanita pakai buang secara percuma kepada mereka yang mengalami masalah kemiskinan haid.

“Mencadangkan kerajaan untuk memperkasa sukan elektronik (Esport) serta merangka pelan strategik pembangunan atlet di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT),” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!