INSKEN sasar 2,000 usahawan menerusi Program DNA

Noh (tiga dari kanan) melancarkan Program Usahawan Bisnes Dropship dan Ejen (DNA) di Pullman Hotel Kuala Lumpur. Turut serta dari kanan, Muhd Firdaus, Ahli Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Profesor Emeritus Datuk Dr Sukiman Sarmani, Ketua Setiausaha Medac, Datuk Suriani Ahmad dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) Medac, Datuk Zamri Salleh.
Noh (tiga dari kanan) melancarkan Program Usahawan Bisnes Dropship dan Ejen (DNA) di Pullman Hotel Kuala Lumpur. Turut serta dari kanan, Muhd Firdaus, Ahli Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Profesor Emeritus Datuk Dr Sukiman Sarmani, Ketua Setiausaha Medac, Datuk Suriani Ahmad dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) Medac, Datuk Zamri Salleh.
A
A
A

SHAH ALAM - Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) menyasarkan kira-kira 2,000 usahawan melalui Program Usahawan Bisnes Dropship dan Ejen (DNA) menjelang suku pertama 2022.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, program tersebut bakal memperkasakan ekosistem keusahawanan dengan melahirkan lebih ramai usahawan terutama dalam kalangan graduan.

Menurutnya, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan bagi insentif pendigitalan yang berbentuk subsidi sebanyak 50 peratus atau maksima RM300 yang akan ditanggung INSKEN.

“Ia untuk membantu peserta program membayar yuran langganan platform pemasaran e-Dagang seperti Wasap.me, OnPay, Ordersini, Yezza, Shoppegram dan lain-lain.

“Program ini diperkenalkan bagi individu yang baharu berjinak-jinak dalam bidang keusahawanan dan ingin memulakan perniagaan dengan menjadi usahawan dropship dahulu sebelum memahami selok-belok alam perniagaan bagi mengurangkan risiko kegagalan.

“Bermula dengan menjual produk orang lain adalah satu langkah yang bijak sebelum menghasilkan serta menjual produk sendiri,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Usahawan Bisnes Dropship dan Ejen (DNA) pada Isnin.

Program tersebut dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), Tan Sri Noh Omar.

Dalam pada itu, Muhd Firdaus berkata, melalui program tersebut, usahawan dropship boleh menimba seberapa banyak ilmu, panduan serta pengalaman daripada pengasas produk tempatan yang tersenarai dalam program itu.

Artikel Berkaitan:

“Nama besar dalam bidang keusahawanan dengan catatan jumlah jualan tahunan cemerlang adalah antara pengasas produk di dalam program ini.

“Ini sekali gus membuka peluang kepada umum terutamanya graduan untuk menghasilkan pendapatan dengan menjual produk mereka yang ternyata sudah stabil dan terkenal di pasaran,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, melalui pelaksanaan program ini, INSKEN mensasarkan 50 peratus daripada usahawan yang menjadi usahawan dropship ini mampu menjana pendapatan minimum sebanyak RM600 sebulan.

“Secara keseluruhan, RM7.2 Juta jumlah pendapatan dijangka akan terhasil daripada usahawan dropship dan pengasas produk melalui DNA.

“DNA ini membabitkan empat komponen iaitu Latihan Dropship 101 selama dua hari bagi memberi pemahaman dan memperkenalkan prinsip perniagaan dropship dan ejen. Maklumat lanjut boleh melayari www.insken.gov.my dan media sosial rasmi INSKEN,” jelasnya.