Bekas peniaga kekal dipenjara seumur hidup, 10 sebatan culik ahli perniagaan

Mahkamah Persekutuan pada Isnin mengekalkan hukuman penjara 30 tahun dan 10 sebatan terhadap bekas peniaga kerana menculik seorang ahli perniagaan bagi mendapatkan wang tebusan RM500,000, 10 tahun lepas. -Gambar hiasan
Mahkamah Persekutuan pada Isnin mengekalkan hukuman penjara 30 tahun dan 10 sebatan terhadap bekas peniaga kerana menculik seorang ahli perniagaan bagi mendapatkan wang tebusan RM500,000, 10 tahun lepas. -Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan pada Isnin mengekalkan hukuman penjara 30 tahun dan 10 sebatan terhadap bekas peniaga kerana menculik seorang ahli perniagaan bagi mendapatkan wang tebusan RM500,000, 10 tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Vernon Ong Lam Kiat sebulat suara menolak rayuan terakhir Kamaruzaman Mohamed Shah, 44, selepas mendapati wujud keterangan yang mencukupi oleh pihak pendakwaan berhubung penglibatan perayu dalam kejadikan penculikan.

"Sehubungan itu, sabitan terhadap perayu adalah selamat dan rayuan perayu ditolak," kata Hakim Vernon yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Zabariah Mohd Yusof selepas mendengar hujahan peguam K A Ramu yang mewakili Kamaruzaman dan Timbalan Pendakwa Raya, Hanim Mohd Rashid.

Kamaruzaman merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 April 2019 yang mengekalkan hukuman penjara seumur hidup iaitu selama 30 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Melaka pada 27 Oktober 2017.

Mahkamah Tinggi Melaka sebelum ini turut mensabitkan dan menjatuhkan hukuman sama terhadap dua lagi lelaki, Sulaiman Abdul Kadir, 41, dan Farezzuwan Mohd, 33, atas tuduhan serupa, namun mereka tidak merayu.

Kamaruzaman, Sulaiman dan Farezzuwan bersama-sama dua lagi yang masih bebas, didakwa secara bersama menculik ahli perniagaan Tan Tiang See, 46, dan mengurung lelaki berkenaan supaya wang tebusan sebanyak RM500,000 dibayar abang mangsa.

Mereka dituduh menculik Tiang See di sebuah gudang di Jalan TTC 25, Taman Perindustrian Cheng di sini dan mengurung lelaki berkenaan di sebuah rumah di Taman Merdeka, Batu Berendam di sini jam 6 petang, pada 14 Februari 2011 mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Selepas panel hakim membuat keputusan itu, Kamaruzaman memohon supaya dia dipindahkan dari Penjara Kajang ke Penjara Kluang, Johor memandangkan keluarganya menetap di Simpang Renggam.

Artikel Berkaitan:

"Saya tertekan Yang Arif...Saya tidak menang kes pun tak apa, asalkan dapat jumpa keluarga. Jika boleh Yang Arif, saya mahu ditempatkan di Penjara Kluang untuk memudahkan keluarga melawat...lebih lapan tahun saya berada di Penjara Kajang dan keluarga jarang datang melawat sebab terlampau jauh," katanya.

Hakim Vernon berkata, mahkamah tiada bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah berhubung penempatan di penjara.

"Ia adalah di bawah kuasa pihak penjara. Permohonan rasmi boleh dikemukakan kepada pihak penjara dengan menyertakan alasan bagi mempercepatkan proses perpindahan," kata Hakim Vernon yang turut disokong Hakim Zabariah bahawa mahkamah tidak boleh campur tangan dalam proses perpindahan banduan ke penjara lain.

Ramu memaklumkan bahawa pihaknya akan membuat permohonan rasmi secara bertulis kepada Penjara Kajang berhubung perkara itu. - Bernama