'Kes Covid-19 tinggi tidak gambarkan kegagalan darurat'

Che Abdullah
Che Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Walaupun kes Covid-19 tinggi ketika negara sedang berada dalam tempoh darurat sebelum ini, namun ia tidak menggambarkan kegagalan darurat.

Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pas-Tumpat) berkata, masih ada fungsi lain di bawah Ordinan Darurat yang menyumbang kepada kejayaannya yang dikecapi pada hari ini dan menjelang endemik kelak.

“Pihak tertentu hanya menilai kegagalan darurat semata-mata berpandukan kepada kes harian dan kes kematian Covid-19 tetapi sengaja menutup mata terhadap fungsi serta kepentingan Ordinan Darurat lain yang membantu kerajaan untuk merintis jalan keluar daripada pandemik.

“Mereka tidak mahu menilai kejayaan vaksinasi ketika itu yang merupakan penyumbang utama kepada kejayaan utama yang sedang kita tempuhi pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan perungkaian tujuh Ordinan Darurat di Dewan Rakyat pada Isnin.

Che Abdullah berkata, kejayaan vaksinasi di negara ini adalah hasil kerjasama erat institusi perubatan awam dan swasta yang menjadi teras di bawah elemen darurat.

Menurutnya, meskipun dihimpit dengan pelbagai perkara, kerajaan masih lagi berupaya memikirkan soal survival rakyat.

“Pakej-pakej bantuan dan rangsangan ekonomi diteruskan walaupun negara di bawah perintah darurat sekaligus menafikan tuduhan kerajaan sekadar mahu mengekalkan kuasa.

Artikel Berkaitan:

“Bermula dengan Pakej Permai, Pemerkasa, Pemerkasa Tambahan dan Pemulih menunjukkan respon balas kerajaan untuk membantu survival rakyat sentiasa berterusan,” jelasnya.