Bajet 2022: Beri bantuan ‘one-off' RM300 kepada mahasiswa

MPPK menggesa kerajaan memberikan bantuan RM300 secara ‘one-off’ kepada mahasiswa menerusi Bajet 2022.Gambar hiasan, gambar kecil: Muhammad Amir
MPPK menggesa kerajaan memberikan bantuan RM300 secara ‘one-off’ kepada mahasiswa menerusi Bajet 2022.Gambar hiasan, gambar kecil: Muhammad Amir
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menggesa kerajaan memberikan bantuan RM300 secara ‘one-off’ kepada mahasiswa menerusi Bajet 2022.

Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, bantuan tersebut dapat meringankan beban mereka untuk memulakan semester baharu yang rata-ratanya sedang beransur-ansur pulang semula ke kampus dan ada juga yang sudah mulakan sesi pembelajaran secara fizikal.

Beliau berkata, MPPK juga berharap agar kerajaan dapat merealisasikan penetapan elaun latihan industri.

“Dalam usaha kerajaan untuk membina daya ketahanan negara, adalah amat penting untuk daya ketahanan mahasiswa juga dapat dibina.

“Penetapan elaun latihan industri ini dapat memastikan mahasiswa dapat memperkasakan lagi kemahiran dan kebolehan mereka serta dibayar dengan bayaran yang setimpal untuk hasil kerja mereka semasa latihan industri serta memastikan tiada lagi penindasan terhadap mahasiswa yang sedang menjalani latihan industri,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Muhammad Amir Asyraf berkata, kerajaan boleh mewujudkan semula Skim MyBrain yang sebelum ini membantu pelajar pasca siswazah dalam membiayai pengajian mereka.

“Namun sejak beberapa lama, skim ini telah dinyahaktifkan dan MPPK merasakan perlu untuk skim MyBrain ini diwujudkan semula kerana ramai mahasiswa pascasiswazah yang sangat memerlukan pembiayaan melalui skim ini.

“Mewujudkan semula MyBrain juga akan dapat menambah lagi jumlah tenaga kerja mahir dan profesional tempatan yang amat penting untuk melancarkan lagi kemajuan serta pembangunan negara,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Muhammad Amir berkata, kerajaan juga perlu mewujudkan satu Skim Rumah Graduan bagi mencapai hasrat lebih ramai rakyat Malaysia berumur 30 tahun ke bawah memiliki rumah sendiri.

“MPPK merasakan bahawa perlunya satu skim khas diperkenalkan bagi membolehkan graduan juga dipermudahkan urusan untuk memiliki rumah.

“Skim Rumah Graduan ini akan membolehkan lebih ramai graduan memiliki rumah pertama sendiri dan sekaligus akan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia,” katanya.

Jelasnya, MPPK berharap agar pihak kerajaan dapat pertimbangkan hasrat dan harapan yang telah dinyatakan dan akan terus komited dalam membela serta terus mendengar hasrat dan denyut nadi mahasiswa.